TERAP PEMIKIRAN MAQASID SYARIAH UNTUK CORAK PENGHAKIMAN YANG ADIL

PUTRAJAYA: Penerapan pemikiran Maqasid Syariah dalam kalangan hakim syarie akan dapat mencorak penghakiman yang mencapai keadilan dan memberikan hak kepada yang berhak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, Maqasid Syariah adalah kunci utama bagi melindungi, menyubur dan memantapkan prinsip dan nilai Islam demi mencapai kepentingan dan matlamat dalam kehidupan, menjamin kemaslahatan, menyekat kemudaratan dan menolak kerosakan.

Fuziah berkata pemikiran Maqasid Syariah adalah bersifat menyeluruh yang mana ia juga merangkumi keputusan yang menyentuh mengenai kehidupan masa hadapan, kesihatan dan kesejahteraan seseorang. 

Beliau berkata sistem perundangan adalah sesuatu yang jelas namun kadangkala sifat seseorang itu mempengaruhi keputusan yang dibuat.

“Sebagai contoh jika ada seorang remaja yang liar, baik dikahwinkan daripada dia buat perkara yang berdosa dan terlarang atau biarkan dia mengandung, itulah nilai terasnya,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Diskusi Undang-undang dan Hukum Syarak: Maqasid Syariah dalam Kehakiman di sini hari ini.

Program Diskusi itu merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Institut Darul Ehsan (IDE). IDE mempunyai kepakaran dalam penyelidikan Maqasid Syariah serta mempunyai Pusat Kajian Maqasid Syariah sendiri.

Dalam kenyataan JKSM yang diedarkan, jabatan itu dengan kerjasama IDE akan melaksana usaha-usaha ke arah memberi kefahaman Maqasid Syariah dalam konteks kehakiman dan perundangan syariah. — BERNAMA

Leave a Reply