THAILAND KESAN CORONAVIRUS KEDUA DARIPADA PELANCONG CHINA

BANGKOK: Thailand melaporkan kes kedua coronavirus juga melibatkan seorang rakyat China.

Mangsa berkenaan, seorang pelancong wanita berusia 74 tahun, dikesan mengalami demam menerusi alat pancaran haba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 13 Jan, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Awam, hari ini.

Setiausaha tetapnya, Dr Sukhum Kanchanapimai, berkata, wanita berkenaan dari Wuhan di Wilayah Hubei, China, dimasukkan ke hospital di Bahagian Kawalan Penyakit.

“Keadaan wanita itu semakin baik. Kami mengawasi sepenuhnya beliau,” katanya.

Pada 8 Jan, seorang wanita berusia 61 tahun juga dari Wuhan, didiagnosis mengalami jangkitan coronavirus. Keadaannya semakin baik dan beliau dijangka terbang pulang ke negara asalnya dalam dua atau tiga hari lagi.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kesihatan Anutin Charnvirakul berkata, penyakit coronavirus tidak merebak di Thailand.

“Keadaan di Thailand adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak laporan awal kes seumpama di Wuhan pada 31 Dis, misteri coronavirus telah menjejaskan sekurang-kurangnya 41 orang di bandar berkenaan.

Virus baharu itu telah membunuh dua orang di China. Penyakit itu juga telah dikesan berada di Jepun.

Kementerian Kesihatan Awam Thailand telah meningkatkan pengawasan di empat lapangan terbangnya iaitu Suvarnabhumi, Don Muang, Chiang Mai dan Phuket — serta penerbangan sewa terus dari Wuhan.

Sejak 13 Jan, seramai 13,624 penumpang dan anak pesawat telah menjalani imbasan bagi penyakit itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pertambahan kes coronavirus di negara lain adalah berkemungkinan, dengan mengambil kira kepada corak pergerakan global.

Dalam satu kenyataan, WHO menggalakkan semua negara agar terus bersedia dengan langkah-langkah persediaan.

Pada 10 Jan, WHO mengeluarkan maklumat bagaimana cara untuk mengawasi kes, rawatan kepada pesakit, menghalang jangkitan menerusi peralatan penjagaan kesihatan, mengekalkan bekalan yang perlu, dan berkomunikasi dengan orang ramai mengenai coronavirus.

Maklumat itu termasuk nasihat mengenai bagaimana untuk mengekalkan kebersihan tangan dan pernafasan dan makanan yang selamat. — BERNAMA

Leave a Reply