TIADA MAKLUMAT PEMBUKAAN DUA MASJID SUCI ESOK – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Tiada maklumat mengenai pembukaan  Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada 8 Ramadan (esok) seperti yang tular di media sosial hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata beliau telah menghubungi Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan berhubung perkara itu.

“Saya telah berhubung dengan Duta Arab Saudi pada tengah hari tadi dan bertanyakan hal ini maka jawapan yang diberikan kepada saya, beliau sendiri tidak ada maklumat dan memaklumkan apa yang berlaku setakat ini berdasarkan kepada arahan terdahulu iaitu tiada pembukaan.

“Beliau turut memaklumkan di Makkah dan Madinah masih lagi lockdown dan yang dibenarkan hanya pekerja-pekerja sahaja dan mereka yang terhad termasuk imam atau yang betugas di masjid itu,” katanya dalam program temu bual ‘Ramadan Kali Ini’ terbitan Bernama Radio dilaporkan agensi berita BERNAMA hari ini.

Tular di media sosial hari ini mengenai satu kenyataan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kononnya mengumumkan dua masjid suci umat Islam itu akan dibuka esok berserta garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi. 

Arab Saudi pada akhir Februari lalu memutuskan menggantung kemasukan jemaah ibadah umrah di Makkah dan ziarah Masjid Nabawi, Madinah.

Bagaimanapun, semalam Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais melalui instagram Haramain_info menyatakan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi akan dibuka dalam masa terdekat selepas situasi pandemik COVID-19 ditangani.

Tanpa menyatakan tarikh bila dua masjid suci itu akan dibuka, Sheikh Sudais berkata ia tidak akan dilakukan dengan tergesa-gesa untuk kebaikan semua pihak.

Pertengahan Mac lalu, Arab Saudi turut menyekat pergerakan keluar dan masuk ke negara itu untuk membendung penularan COVID-19.

Mengulas mengenai isu solat jemaah di masjid, Zulkifli berkata keputusan membuka semula masjid dan surau bagi aktiviti ibadah, termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah bergantung kepada kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ia perlu diperhalusi satu persatu, bagaimanapun ia amat bergantung kepada KKM. Justeru, apa-apa keputusan berdasarkan kepada pendapat serta pandangan KKM sewajarnya menjadi pedoman. Ia akan dibincang dari semasa ke semasa,” kata menteri agama itu. — AlHijrah Online

Leave a Reply