SERI PADUKA BAGINDA BERDUA SERTAI LIMPAHAN LAMPU BIRU, TANDA SOKONGAN BUAT PETUGAS BARISAN HADAPAN

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga berkenan turut bersama menyertai Program Limpahan Lampu Biru (Light It Blue) di Istana Negara semalam.

“Program Limpahan Lampu Biru adalah sebagai sokongan dan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang berjuang mengekang wabak Covid-19.

“Daulat Tuanku,” demikian menurut entri terkini media sosial Instagram rasmi Istana Negara @istana_negara tengah malam tadi.

Setakat jam 6 pagi tadi, posting Instagram Istana Negara itu menerima lebih 15,199 Likes dan lebih 111 komen.

Dalam posting berasingan, Seri Paduka Baginda berdua menyanjung tinggi pengorbanan semua petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas tanpa mengira masa dan penat lelah.

Program Limpahan Lampu Biru dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Difahamkan ia turut disertai masjid-masjid di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). — AlHijrah Online

Leave a Reply