LEBIH 2,000 MOHON SIJIL HALAL SECARA ONLINE KETIKA PKP – JAKIM

KUALA LUMPUR: Sehingga 27 April lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerima 2,097 permohonan pensijilan halal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff berkata permohonan itu dibuat melalui sistem aplikasi online MYeHALAL bertujuan memudahkan permohonan sijil halal.

Katanya, pelaksanaan prosedur pensijilan halal Malaysia sepanjang tempoh pandemik Covid-19 dibangunkan JAKIM dan dipersetujui Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

“Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa pandemik Covid-19 yang berlaku telah membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh yang agak lama.

“Keadaan ini sudah pasti akan memberi kesan terhadap proses pensijilan halal Malaysia. Malah, ia memberi memberi impak kepada keseluruhan aktiviti sosio-ekonomi masyarakat seluruh dunia.

“JAKIM mengambil pendekatan pelaksanaan prosedur pensijilan halal Malaysia melalui sistem online menerusi aplikasi MYeHALAL.

“Menerusi sistem ini, proses permohonan sijil, pembayaran fi, pengauditan lapangan dan pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dapat dilakukan dengan berkesan,” kata Hakimah dalam kenyataan di sini hari ini.

Inisiatif ini dilaksanakan JAKIM bagi menangani situasi terbatas sepanjang tempoh PKP dengan pembangunan Standard Operating Procedure (SOP) sebagai panduan dalam pelaksanaan operasi pensijilan halal Malaysia. — AlHijrah Online

Leave a Reply