TIDAK PERLU HENTI SOLAT JUMAAT: ZULKIFLI

PUTRAJAYA: Solat Jumaat hendaklah diteruskan kerana situasi penularan wabak koronavirus masih terkawal di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata solat yang diwajibkan kepada lelaki Muslim itu hendaklah diteruskan dengan beberapa perubahan antaranya memendekkan khutbah Jumaat.

“Orang ramai juga digalakkan untuk mengambil air sembahyang di rumah manakala pengurusan masjid dan jemaah hendaklah menyediakan ‘hand sanitizer’ (cecair pembasmi kuman) dan penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan. 

“Mereka yang ada simptom COVID-19 bagaimanapun tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit,” katanya pada sidang media selepas majlis kesyukuran dan amanat kepada agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini. 

Hadir sama timbalannya Ahmad Marzuk Saary yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. 

Zulkifli  yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata solat Jumaat hanya tidak boleh dilakukan dan diganti dengan solat Zohor jika keadaan wabak menjadi umum dan merebak secara tidak terkawal. 

Beliau berkata hal itu hanya boleh dilakukan selepas memenuhi beberapa syarat iaitu larangan berkenaan status wabak dikeluarkan pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan.

“Ia juga tertakluk kepada wabak itu sudah menunjukkan kesannya di tempat itu dan ramai individu yang telah disahkan positif COVID-19 dengan Kementerian Kesihatan telah menyemak dan memeriksa masjid atau surau Jumaat terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu dalam amanatnya, Zulkifli menegaskan mengenai kepentingan menghormati dan menjaga masa selain amanah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai kakitangan agensi jabatan agama. – AlHijrah Online/ Zamir Akmal Zambri

Leave a Reply