KEMAMAN : Pasangan kekasih mengaku bersalah di mahkamah sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengabaikan bayi lelaki mereka.
Nur Aisyah Azila Zairul Akmal, 21, dan Muhammad Alhafiz Mukminin Mohd Noor, 24, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas bayi yang berusia tujuh hari itu didapati mengabaikan bayi berkenaan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu dilakukan kedua-kedua tertuduh kira-kira jam 7 hingga 7.15 pagi di Kedai Ayam Bukit Jabur Kubur, Jalan Air Putih, Chukai dan pertuduhan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan itu, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Mei sebagai tarikh pengurusan fakta dan jatuh hukuman.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Farhana Shamsudin.
Media sebelum ini melaporkan seorang pemandu lori menemui seorang bayi lelaki di kedai ayam jam 7.30 pagi.
Bayi lelaki tanpa pakaian dan menggigil kesejukan hanya beralas pakaian bayi. –AlHijrah Online