KUALA LUMPUR: Sejak semalam tular perkongsian pengguna Facebook Afiq Nordin yang berkongsi kisah pasangan suami isteri Azlina dan Nazri yang dua-duanya dilahirkan sihat namun telah diuji dengan masalah kecederaan saraf tunjang.
Kisah pasangan itu meraih perhatian apabila kedua-duanya bersiaran langsung dengan memakai tiub pemakanan di hidung tanpa sedikit pun nada merintih simpati dan cuba mencari rezeki di platform Tiktok.
Cerita mereka bermula daripada takdir yang serupa apabila masing-masing mengalami kecederaan saraf tunjang akibat kemalangan berbeza yang menyebabkan mereka lumpuh selama bertahun-tahun sebelum dipertemukan melalui sebuah kumpulan sokongan pesakit.
Azlina atau nama penuhnya Azlia Aafiyah Zakaria terlibat kemalangan jalan raya pada 2007 dan tujuh tahun terlantar sebelum pulih dan bangun semula.
Suaminya pula, terjatuh dari bangunan ketika sedang bekerja memasang pendingin hawa di Kuala Selangor pada tahun 2014 dan sejak itu, beliau lumpuh dan kini sudah lebih 12 tahun menjalani kehidupan sebagai OKU.
Pertemuan pasangan ini bermula melalui satu kumpulan sokongan pemulihan pesakit kecederaan saraf tunjang, Support Group Rehab Sungai Buloh yang ditubuhkan Azlina.
Beliau ketika itu menjadi ketua kumpulan itu dan tugasnya adalah memberi sokongan kepada pesakit lain supaya mereka tidak berjuang sendirian, termasuk Nazri.
Azlina yang baru sahaja pulih dan boleh berjalan semula nekad mengambil langkah luar biasa dengan meminang Nazri yang ketika itu masih terlantar sepenuhnya demi niat murni untuk menjaga lelaki itu dalam ikatan yang halal.
“Lepas dua minggu saya boleh jalan, saya pinang suami saya. Saya cakap dekat dia, saya nak jaga awak dalam keadaan halal,” kongsi Azlina.
Walaupun Nazri pada mulanya menolak kerana merasa rendah diri dengan keadaan fizikal dan kewangannya yang hanya bergantung kepada bantuan bulanan yang kecil, keikhlasan Azlina akhirnya menyatukan mereka di jenjang pelamin.
Selepas setahun membina hidup bersama, ujian besar melanda lagi apabila Nazri disahkan menghidap tumor saraf tunjang pada tahun 2022 yang menyebabkannya kembali terlantar dan tidak lagi mampu mengunyah makanan.
Kini, pasangan ini tabah meneruskan hidup dengan Azlina tidak lagi mampu menelan manakala suaminya pula hilang keupayaan untuk mengunyah, menyebabkan kedua-duanya bergantung sepenuhnya kepada penggunaan tiub makanan
Azlina memaklumkan beliau turut mempunyai masalah kemurungan akibat bebanan sakit yang lama.
Demi menampung kos susu khas dan keperluan perubatan harian yang tinggi, mereka gigih berniaga produk aromaterapi melalui platform TikTok di bawah naungan Rumah Harapan Nur Aafiyah yang diasaskan sendiri oleh mereka.
Bagi Azlina, segala usaha dan jualan yang dilakukan bukanlah untuk mengejar kekayaan, sebaliknya sebagai satu bentuk tanggungjawab dan kekuatan untuk mereka berdua terus bangkit. – AlHijrah Online