DALAM NEGARA
UCAPAN PENUH IDRIS AHMAD: PENGGULUNGAN PERBAHASAN RANCANGAN MALAYSIA KE-12

Ucapan penuh penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad.
Assalamualaikum wbt
Tuan Yang di-Pertua,
1. Dalam merancang suatu perubahan, kita semua mahu mencapai kebahagian, kesejahteraan dan kemakmuran kehidupan di dunia. Namun begitu, kita juga tidak boleh lupa untuk merancang untuk kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di akhirat. Kedua-duanya perlu seimbang sebagaimana firman Allah Taala bermaksud:
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas: 77)
2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih, terutamanya kepada 7 orang Ahli ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal Islam semasa perbahasan RMK12 yang lalu.
3. Terdapat 4 aspek yang diberi penekanan dalam RMK-12 yang berkaitan dengan portfolio hal ehwal Islam iaitu pendidikan, halal, wakaf dan tadbir urus serta perundangan. Saya akan menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli-ahli yang berhormat berdasarkan 4 aspek tersebut.
Tuan Yang Dipertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
ASPEK PERTAMA : PENDIDIKAN ISLAM & TAHFIZ
4. Institusi Pendidikan Islam merupakan salah satu perkara yang disebut dalam Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan. Dari segi sejarahnya, institusi pendidikan Islam merupakan antara institusi pendidikan terawal yang wujud dalam masyarakat Islam di Malaysia.
5. Sejarah Malaysia merakamkan sumbangan para ulama, yang terhasil daripada institusi pendidikan Islam, dalam memperjuangkan kemerdekaan, antaranya Tok Janggut di Kelantan dan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu. Para ulama telah membuka pelbagai institusi pendidikan Islam bagi semua peringkat umur bermula dari pengajian muqaddam, fardhu ain sehinggalah pengajian pondok. Kebanyakan institusi ini telah wujud sebelum Malaysia merdeka.
6. Setelah mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan kebangsaan dilaksanakan bersama sistem pendidikan Islam. Secara umumnya, objektif utama pelaksanaan sistem pendidikan Islam ialah untuk memberikan penekanan kepada aspek penghayatan melalui ilmu pengetahuan, kemahiran bagi membangunkan insan yang bertakwa kepada Allah SWT. Dalam membicarakan soal pendidikan Islam, terdapat perbezaan yang jelas antara pengajaran dan pembelajaran (P&P) pendidikan Islam berbanding matapelajaran mata pelajaran lain. Pendidikan Islam adalah pengajaran yang merangkumi ilmu, amalan dan penghayatan secara berterusan sepanjang hayat seseorang.
7. Sistem pendidikan Islam di Malaysia telah berkembang pesat. Pada zaman awal selepas kemerdekaan, tidak banyak sekolah agama kerajaan. Antara yang ada ialah Kolej Islam Klang di mana saya salah seorang daripada alumninya. Sekarang, wujud pelbagai institusi pendidikan Islam sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan, negeri dan swasta yag melaksanakan kurikulum pendidikan kebangsaan mahupun kurikulum antarabangsa. Keluaran sekolah-sekolah agama inilah yang telah memenuhi pelbagai sektor pekerjaan sehingga melahirkan para ilmuwan dan cendikiawan dalam pelbagai bidang.
8. Yang Berhormat Pontian telah mengajukan soalan berkenaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara. Dasar ini merupakan usaha penyelarasan pengurusan pendidikan tahfiz dengan mengambil kira Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peraturan-peraturan sedia ada di negeri-negeri.
9. Kerajaan telah memperkenalkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sejak tahun 2017 bertujuan untuk dijadikan garis panduan dalam pengurusan pendidikan tahfiz di Malaysia. DPTN telah dipersetujui secara dasar dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-61 pada 28 Jun 2016 dan mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja kali ke 247 pada 11 Oktober 2017.
10. Dasar ini masih diteruskan dengan penyediaan Pelan Tindakan DPTN 2.0. Pelan ini disediakan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN), agensi kerajaan berkenaan dan persatuan tahfiz.
11. DPTN memfokuskan 5 teras utama iaitu:
- Memantapkan undang-undang dan penguatkuasaan melalui pemantauan pematuhan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) terhadap enakmen dan peraturan yang berkuatkuasa di negeri masing-masing.
- Mewujudkan model institusi tahfiz. Ini dapat dilihat pada Darul Quran JAKIM, Maahad Tahfiz Kerajaan Negeri dan sekolah di bawah KPM yang merupakan model terbaik kepada institusi tahfiz swasta.
- Mewujudkan kurikulum pendidikan tahfiz yang sesuai dengan pendidikan arus perdana dan menggalakkan Institusi tahfiz swasta melaksanakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) atau Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) atau persijilan TVET bagi memastikan pelajar tahfiz dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
- Memperkasa tadbir urus institusi tahfiz dengan menyarankan Institusi tahfiz swasta menyediakan program bagi meningkatkan kemahiran pengurusan dan pedagogi di kalangan guru tahfiz dan pengurus tahfiz. JAKIM dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Aminudin Baki (IAB) telah mengorak langkah melaksanakan latihan-latihan kepada kumpulan sasar berkenaan.
- Mewujudkan sistem pengiktirafan dan pensijilan bagi institusi tahfiz dengan mewujudkan Jawatankuasa Akreditasi Tahfiz (JAT) di bawah LEPAI yang sedang membangunkan standard pengiktirafan institusi dan huffaz yang akan menjadi panduan dalam proses pengiktirafan tersebut.
12. Secara keseluruhannya, pelaksanaan pelan ini dipantau melalui Jawatankuasa Pelaksana DPTN dan dilaporkan dalam Persidangan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) secara berkala.
Tuan Yang Dipertua,
13. Yang Berhormat Pokok Sena telah menggesa agar Kerajaan menyegerakan bantuan untuk membantu pusat-pusat tahfiz yang hampir mati akibat pandemik COVID-19.
14. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, pandemik Covid-19 yang melanda dunia hari ini telah memberi impak yang besar kepada semua sektor termasuk sektor pendidikan. Justeru, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu kelangsungan pengoperasian institusi pendidikan di negara ini termasuk institusi tahfiz swasta yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri. Antaranya dengan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi membolehkan institusi berkenaan terus dapat beroperasi dalam norma baharu.
15. Berdasarkan maklumat yang disahkan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri, hakikatnya penutupan institusi tahfiz swasta berdaftar adalah hanya bersifat sementara bagi mematuhi arahan Kerajaan supaya rantaian jangkitan wabak Covid-19 dapat diputuskan. Namun begitu, tidak dinafikan terdapat institusi yang berhadapan dengan kemerosotan sumber kewangan impak pandemik ini.
16. Pada tahun 2021, Kerajaan sekali lagi menyediakan peruntukan one-off RM100 juta bagi tujuan selenggara dan naik taraf Institusi Pendidikan Islam di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) merangkumi Sekolah Agama, institusi tahfiz dan pondok. Sehingga Ogos 2021, sebanyak RM60,000,000.00 telah disalurkan kepada 1,066 buah institusi yang layak dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM22,257,100.00 telah disalurkan kepada 413 buah institusi tahfiz berdaftar di negeri-negeri seluruh negara. Manakala RM40 juta lagi akan diagihkan kepada institusi pendidikan agama Islam.
17. Manakala pada tahun 2020, sebanyak RM100,000,000.00 turut diperuntukkan bagi tujuan yang sama. Daripada jumlah RM100,000,000.00 tersebut, sebanyak RM18,596,520.00 telah diperuntukkan di bawah Bantuan Khas Covid-19 secara one-off merangkumi bantuan sara hidup berjumlah RM800.00 seorang kepada guru-guru di institusi pendidikan Islam berdaftar termasuk guru di institusi tahfiz dan bantuan pengurusan operasi dengan peruntukan RM10.00 per murid warganegara bagi tujuan pengurusan institusi berkenaan impak pandemik Covid-19.
18. Sejak tahun 2017 hingga tahun 2019, 904 orang menjadi penerima kepada Skim Bantuan Hafaz Al-Quran dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2,300,250.00. Selain itu, dari tahun 2017 sehingga Ogos 2021, sebanyak 51 buah institusi tahfiz telah menerima bantuan berjumlah RM1,619,000.00.
Tuan Yang Dipertua,
19. Dalam bab 10 RMK-12 mengenai Membangunkan Bakat Masa Hadapan, telah disebut mengenai kadar peralihan daripada sekolah rendah ke menengah rendah adalah 97.9% pada tahun 2020. Peratusan ini tidak termasuk murid yang memilih untuk keluar atau bertukar ke sekolah pendidikan Islam yang dijalankan oleh pihak swasta seperti sekolah pondok dan sekolah tahfiz. Murid yang berada di luar sistem pendidikan arus perdana tidak dapat dikesan sepenuhnya kerana ketiadaan sistem pemantauan yang bersepadu.
20. Oleh yang demikian, bagi membangunkan bakat tersedia masa hadapan, strategi untuk meningkatkan kualiti pendidikan perlu diambil. Langkah pertama ialah dengan mewujudkan latihan pembangunan profesional dan pedagogi kepada guru-guru tahfiz melalui kurikulum pengajaran seragam yang ditawarkan oleh Institut Perguruan. Sehubungan itu, IPG Kampus Pendidikan Islam akan dijadikan sebagai hab latihan untuk mengeluarkan guru-guru tahfiz yang berkualiti dan berkelayakan.
21. Usaha juga dilakukan bagi meningkatkan penggunaan Kurikulum Bersepadu Tahfiz di sekolah tahfiz seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta menambah baik outcome murid.
22. Langkah kedua ialah dengan memperkukuh tadbir urus. Ianya boleh dilakukan melalui peningkatan tadbir urus dan penyelarasan sistem persekolahan. Platform penyelarasan antara penyedia awam dan swasta bagi sekolah tahfiz akan dibangunkan bagi menggalakkan penerimagunaan kurikulum standard serta menambahbaik kualiti guru.
23. Produk sekolah-sekolah tahfiz merupakan sebahagian daripada modal insan negara. Namun, tanpa melalui kurikulum pendidikan dan peperiksaan yang standard, peluang pekerjaan untuk huffaz adalah terhad kepada sektor tidak formal disebabkan kurang kemahiran teknikal. Ini merupakan sebahagian daripada cabaran yang dihadapi oleh kumpulan M40, iaitu ketidaksaksamaan keberhasilan sosioekonomi Bumiputera.
24. Oleh yang demikian, dalam bidang keutamaan untuk mencapai kesaksamaan keberhasilan Bumiputera, beberapa strategi perlu dirangka untuk memperkukuh pendidikan dan memperkasa modal insan, khususnya para huffaz.
25. Usaha akan dipergiat dalam memperluas akses dan peluang pendidikan, meningkatkan kualiti program kemahiran, penyertaan dalam program profesional bertauliah serta kemahiran dan kebolehpasaran huffaz. Langkah ini adalah untuk menambah baik keupayaan dan kemampuan Bumiputera dalam mendapat peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta menghasilkan modal insan yang seimbang dari segi pengetahuan, kemahiran dan nilai moral.
26. Bagi menambah baik kemahiran dan kebolehpasaran huffaz, usaha bersepadu terus dilaksana untuk mengakreditasi program tahfiz dalam menyediakan laluan yang lebih baik kepada huffaz untuk memasuki arus pendidikan perdana. Retetan itu, modul tahfiz dan sukatan pelajaran akan dijajar dengan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) agar selaras dengan Dasar Pendidikan Negara. Di samping itu, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) dan MARA akan terus melatih lebih ramai huffaz dalam bidang teknikal dan profesional serta program pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan peluang huffaz untuk mendapat pekerjaan.
27. Kerajaan turut merancang untuk memberi kemahiran kepada pengusaha dan murid tahfiz dan pondok bagi membolehkan mereka berdikari dan menjana pendapatan sendiri. Pihak-pihak lain seperti sektor swasta turut digalakkan untuk terlibat dalam membiaya institusi pendidikan Islam termasuk institusi tahfiz dan pondok.
Tuan Yang Dipertua,
28. Yang Berhormat Pontian ada bertanyakan mengenai status Universiti Al-Quran dan Pendidikan Islam bagi guru KAFA. Kerajaan menyedari kepentingan penubuhan Universiti al-Quran dalam usaha memartabatkan pendidikan al-Quran, memperkasa kebolehjadian lepasan tahfiz dan menghasilkan masyarakat yang seimbang dalam aspek intelektual serta spiritual. Perkara ini telah dipersetujui di peringkat mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI). Sehubungan itu, rundingan bersama para stakeholder masih dijalankan bagi mencari formula terbaik tentang status universiti tersebut.
29. Berkenaan Pendidikan Islam bagi guru KAFA, pemerkasaan dari aspek latihan telah dibuat bagi meningkatkan kompetensi Guru guru KAFA. Pada tahun 2021, JAKIM telah melaksanakan Kursus Pemetaan Guru KAFA sebagai Jurulatih Daerah. Sebanyak 10 siri latihan melibatkan 591 orang peserta dari 10 buah negeri iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Kedah, Sabah, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Sarawak telah dilaksanakan.
30. Objektif kursus ini ialah untuk memberi latihan secara komprehensif bagi memperkasa ilmu dan kemahiran guru KAFA; memantapkan guru-guru dengan ilmu teknologi seiring peredaran dan perkembangan dunia teknologi dan keperluan semasa PdPR; melatih Guru KAFA untuk menjadi pembimbing kepada guru-guru KAFA yang lain; dan memantapkan skill penyampaian dan pengajaran guru-guru dalam pelbagai bidang ilmu.
Tuan Yang Dipertuan dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
ASPEK KEDUA: INDUSTRI HALAL
31. Dalam tempoh 5 tahun akan datang, industri halal merupakan salah satu daripada tumpuan ke arah merancakkan pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi. Fokus akan diberikan untuk menggalakkan penerimagunaan teknologi termaju, pembaharuan tadbir urus, peningkatan kemahiran bakat, inovasi dan R&D bagi transformasi industri ini kepada yang menghasilkan produk dan perkhidmatan yang bernilai tambah yang tinggi, memperluas pasaran global dan menarik pelaburan berkualiti.
32. Pada tahun 2020, Industri halal telah menyumbang sejumlah RM9.7 billion kepada KDNK negara. Sebanyak 2225 buah syarikat baharu telah menerima pensijilan halal dan syarikat-syarikat ini telah menyediakan sebanyak 160,337 peluang pekerjaan.
33. Antara isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri halal di Malaysia ialah pembangunan industri yang kurang memberangsangkan. Pemain industri tempatan kekurangan keupayaan untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran halal.
34. Selain itu, rangkaian perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) halal yang terhad, kurangnya ciri-ciri pemikiran sebagai usahawan global serta penggunaan model perniagaan yang kurang dinamik menghalang usaha untuk meluaskan pasaran.
35. Salah satu strategi tersebut ialah meningkatkan daya saing industri halal yang inklusif. Strategi ini mengandungi 5 tindakan iaitu, meningkatkan pembangunan bakat halal, mewujudkan pengiktirafan profesional halal, mempercepat pembangunan industri halal bagi mempertingkat daya saing, meningkatkan daya saing produk halal dan menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal Global.
36. Majlis Profesional Halal (HPB) di bawah JAKIM akan disusun semula berdasarkan hala tuju baharu yang akan dibangunkan bagi memperluas pengiktirafan pengamal profesional halal di pasaran global.
37. Industri halal akan terus dibangunkan dengan memanfaatkan kekuatan industri tempatan termasuk meningkatkan penyertaan syarikat Bumiputera melalui pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) yang bertujuan untuk memperkukuh pembangunan industri halal dengan mewujudkan kumpulan bakat yang lebih besar, menambah baik infrastruktur yang bersepadu serta mempercepat pengeluaran produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.
38. JAKIM mempunyai Pusat Analisis Makmal Halal Malaysia atau lebih dikenali dengan MyHAC yang telah dibina bagi menyediakan perkhidmatan analisis dan penyelidikan saintifik bagi pengesahan dan pengesanan halal. Perkembangan terkini, MyHAC baru sahaja menjalani Audit Pematuhan Sistem Pengurusan Kualiti Makmal MS ISO IEC 17025: 2017 oleh Jabatan Standard Malaysia bagi memastikan pematuhan terhadap standard ISO dan keperluan Skim Akreditasi Makmal Malaysia.
39. Bagi membantu PMKS dalam meningkatkan kualiti produk serta kebolehpasaran produk yang lebih luas, JAKIM telah memperkenalkan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) sebagai satu inisiatif kepada pihak industri khususnya pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Inisiatif yang diperkenalkan melalui MHMS ini adalah bagi menjami keyakinan pengguna mahupun pihak industri terhadap kualiti dan integriti produk halal Malaysia, bukan sahaja di dalam malah di peringkat antarabangsa.
40. Yang Berhomat Pontian ingin tahu tentang status Majlis Halal Malaysia. Majlis Halal Malaysia (MHM) telah pun dijenamakan dengan nama baru iaitu Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) yang diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Penjenamaan ini adalah keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 18 September 2019. MPIH berperanan dalam merancang dan merangka pelan pembangunan industri halal.
41. Industri halal di Sabah dan Sarawak juga akan diperkukuh bagi memanfaatkan ketersediaan sumber dan peningkatan permintaan global kepada produk halal. Keupayaan dan kualiti pengeluaran akan ditingkatkan serta akses ke pasaran antarabangsa akan ditambah baik.
42. Taman Industri Halal sedia ada termasuk Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Kluster Industri Minyak Sawit Lahad Datu di Sabah dan Hab Halal Tanjung Manis di Sarawak akan dinaik taraf melalui pendekatan yang holistik.
Tuan Yang Dipertua,
ASPEK KETIGA: WAKAF
43. Wakaf merupakan salah satu perkara yang banyak disentuh dalam RMK-12. Dari segi perundangan, wakaf adalah termasuk dalam senarai bidang kuasa negeri mengikut Butiran 1, Senarai 2, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) selaku pemegang amanah tunggal bagi semua tanah-tanah wakaf di negeri masing-masing adalah bertanggungjawab untuk memastikan hartanah wakaf diuruskan dengan sebaiknya.
44. Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah dan akan terus mengambil langkah inisiatif membangun dan memajukan tanah tanah wakaf milik MAIN melalui peruntukan bajet pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMKe-9), Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMKe-10), Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMKe-11) dan Rancangan Malaysia Ke-Duabelas (RMKe-12) di mana JAWHAR dengan kerjasama MAIN telah membangunkan pelbagai projek hartanah wakaf. Sehingga hari ini, sebanyak 18 projek besar berimpak tinggi telah dilaksanakan di atas tanah wakaf oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama MAIN.
45. Yang Berhormat Tasik Gelugor juga ingin tahu sejauh mana hubungan dan perbincangan yang telah diadakan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan terutamanya bagi menyelaras konsep atau hala tuju serta peruntukan-peruntukan yang diperlukan. Adakah Kerajaan berhasrat menilai semula apa yang dipanggil Sindrom Wakaf Bisu iaitu aset wakaf yang dimiliki oleh agensi-agensi tetapi tiada pembangunan dijalankan.
46. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, JAWHAR senantiasa menyokong projek pembangunan yang telah dibangunkan oleh MAIN sama ada berbentuk ekonomi atau sosial berdasarkan kepada enam (6) kategori projek seperti keagamaan, pendidikan, kesihatan, pertanian (industri makanan, penternakan dan perladangan), perumahan serta perniagaan dan perkhidmatan.
47. Pada masa yang sama juga, JAWHAR bersama-sama MAIN berusaha mencari pendanaan alternatif terutama dalam pasaran kewangan Islam dengan mengadakan kerjasama strategik Government Linked Companies (GLC), syarikat-syarikat swasta dan institusi kewangan bagi membolehkan pembangunan tanah wakaf yang berprestasi dan berimpak tinggi.
48. Susulan daripada itu, beberapa MAIN telah menjalankan kerjasama dengan pihak berkaitan seperti contoh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama Tabung Haji dan Bank Islam menerusi Projek Komersial Menara Imarah Al-Waqf Ahmad Dawjee Dadabhoy di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) bersama UDA Bhd. dan Bank Islam serta Bank Al Rajhi menerusi projek rumah kediaman wakaf Seetee Aisah dan kerjasama antara MAINPP dengan UDA Bhd. diteruskan lagi melalui projek perumahan dan komersil wakaff Seetee Aisah 2.
49. Yang Berhormat Tasik Gelugor juga telah bertanyakan mengenai dasar Kerajaan tentang penggunaan tanah-tanah yang diwakafkan sebagai institusi pendidikan.
50. Buat masa ini, semua pembangunan wakaf termasuklah bagi tujuan pendidikan dilaksanakan mengikut kesesuaian dan keperluan di negeri masing-masing. Sebagai contoh, pembinaan sekolah sekolah agama di seluruh negeri Johor melalui kutipan Saham Wakaf Johor. Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan telah membangunkan Kompleks Pendidikan Maahad Al-Mashoor Al-Islami di Balik Pulau, Pulau Pinang.
51. Yang Berhormat Tasik Gelugor juga ada menanyakan tentang kaedah yang digunakan oleh Kerajaan menggalakkan wakaf harta atau bangunan atau aset supaya jumlah aset wakaf ini semakin bertambah. Satu lagi persoalan berkaitan wakaf telah ditimbulkan oleh Yang Berhormat Kuala Nerus tentang kenapa nilai kutipan wakaf masih rendah sehingga kini.
52. Bagi menjawab persoalan yang ditbangkitkan oleh kedua-dua orang Yang Berhormat, untuk makluman Yang Berhormat, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang ditubuhkan pada tahun 2008, telah mula aktif membuat kutipan wakaf tunai pada tahun 2009, iaitu setelah Jabatan Akauntan Negara Malaysia meluluskan kod potongan gaji Wakaf Tunai Malaysia kepada YWM bagi membolehkan penjawat awam membuat sumbangan wakaf melalui potongan gaji menerusi kod 4474.
53. Bagi merancakkan lagi amalan berwakaf di Malaysia dan selain dari berwakaf melalui potongan gaji, YWM telah menyediakan pelbagai platform untuk memudahkan masyarakat berwakaf secara tunai, iaitu melalui:
- Sistem Wakaf Tunai Malaysia secara potongan gaji di atas talian;
- Perbankan internet iaitu CIMB Clicks (melalui kerjasama dengan CIMB Islamic Bank Berhad), PBe (melalui jalinan kerjasama dengan Public Islamic Bank Berhad) dan AGRONet (melalui jalinan kerjasama dengan AGROBANK);
- Produk pelaburan unit amanah yang disinergikan dengan elemen wakaf, iaitu Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan (dengan kerjasama Kenanga Investors Berhad) dan Dana Maybank Mixed Assets-i Waqf (melalui kerjasama dengan Maybank Asset Management); dan
- Produk takaful di mana bagi tujuan ini, YWM telah menjalinkan kerjasama dengan Takaful Ikhlas, Sun Life Malaysia Takaful dan AmMetLife Takaful.
54. Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kutipan wakaf, Kerajaan telah melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan pada 1 Ramadhan yang lalu dan juga telah melancarkan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2020 berkaitan Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Penjawat Awam Yang Berkhidmat Di Wilayah Persekutuan Dan Negeri. Sebagai insentif kepada penyumbang wakaf tunai, samada individu atau syarikat, di bawah Subseksyen 44(11D) Akta Cukai Pendapatan 1967 Bagi Wakaf berkuatkuasa 8 Oktober 2020, sumbangan wakaf tunai kepada Majlis Agama Islam Negeri dan Universiti Awam (UA) layak diberi potongan cukai tidak melebihi 10% daripada pendapatan agregat.
55. Yang Berhormat Kuantan telah menggesa supaya Yayasan Wakaf Malaysia diperkasa serta mencadangkan kepada kerajaan untuk menjadikan wakaf dan zakat sebagai instrumen untuk membasmi kemiskinan. Beliau turut menyentuh mengenai multidimensional poverty index (MDPI) bagi membasmi kemiskinan.
56. Kaedah MDPI memang diambil oleh agensi/kementerian yang berkenaan dalam usaha untuk membasmi kemiskinan. Malah kerajaan juga akan menggunakan kaedah BI (Behavioural Insights) dalam membuat dasar yang berkaitan dengan pembangunan manusia dan pembangunan sosial.
57. Selaras dengan Pelan Pemerkasaan Pengurusan Wakaf yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, JAWHAR dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri kini dalam penyediaan draf laporan akhir Pelan Induk Wakaf Nasional di mana pelan ini kelak akan menjadi suatu dasar dalam pembangunan wakaf di Malaysia. Ia meliputi aspek pengurusan, perundangan, pendanaan dan pembangunan serta pembudayaan. Semua yang dirancang ini akan memberi faedah kepada Majlis Agama Negeri.
58. Yang Berhormat Pontian ingin tahu peranan wakaf dalam pembangunan Rancangan Malaysia-12. Dalam dokumen RMKe-12 yang telah dilancarkan pada 27 September 2021, wakaf telah disebut dalam 5 bab, 9 bidang keutamaan dan 9 strategi. Kesemua strategi yang dinyatakan itu meliputi peranan wakaf sebagai,
- Instrumen kewangan sosial dalam memperkukuh agenda kewangan Islam;
- instrumen pendanaan dan pembiayaan alternatif di IPTA, IPTS, TVET serta PTPTN termasuk bagi aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi;
- instrumen pembentukan dana endowmen kesihatan bagi memastikan kemampanan kewangan untuk penjagaan kesihatan;
- instrumen pembangunan tanah wakaf bersama Tanah Rizab Melayu dalam menangani cabaran ketidaksamaan keberhasilan ekonomi Bumiputera;
- instrumen pembiayaan tambahan dalam menangani kemiskinan secara menyeluruh;
- instrumen alternatif bagi meringankan beban B40 dalam memenuhi perbelanjaan penjagaan kesihatan
- instrumen bagi penggembleng sumber daripada individu dan korporat untuk membiayai aktiviti sosioekonomi
59. Yang Berhormat Tasik Gelugor ingin tahu sejauh manakah Kerajaan bersedia untuk membangunkan tanah wakaf ini serta perancangan ke atas tanah-tanah wakaf ini. Adakah Kerajaan bersedia dengan konsep pembiayaan bagi membantu menyediakan pinjaman kepada pembeli-pembeli sekiranya dibangunkan tanah tanah wakaf tersebut sebagai penempatan atau pusat perdagangan.
60. Kerajaan melalui Yayasan Waqaf Malaysia telah melaksanakan Kajian Pelan Induk Pembangunan Hartanah Wakaf di Malaysia pada tahun 2016 namun pelan tersebut masih tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Antara kekangan utama yang dikenalpasti merencatkan pelaksanaan pelan tersebut adalah dalam aspek pengurusan wakaf oleh institusi-institusi berkaitan wakaf, perundangan wakaf, pendanan dan pembiayaan pembangunan hartanah wakaf dan juga dalam aspek kesedaran dan pembudayaan wakaf di kalangan wakyat Malaysia yang masih rendah.
61. Lanjutan daripada itu, Pelan Induk Wakaf Nasional sedang disediakan bagi merangka sebuah pelan yang lebih holistik untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia agar wakaf berupaya menjadi penyumbang kepada sektor ketiga ekonomi negara.
62. Dalam konteks penyediaan kemudahan pinjaman, Kerajaan dalam pengumuman Belanjawan 2018 telah meluluskan pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kepada kakitangan awam bagi pembelian hartanah yang dibangunkan di atas tanah wakaf.
63. Buat pengetahuan Yang Berhormat, RMK-12 telah meletakkan pelbagai tindakan bagi merancakkan dan memanfaatkan wakaf bagi menangani kemiskinan dan membangunkan masyarakat yang inklusif. Bagi memperkukuh pembangunan Tanah Rizab Melayu dan Instrumen Wakaf, pihak berkuasa negeri digalakkan untuk membangunkan Tanah Rizab Melayu dan tanah wakaf dengan kerjasama agensi Persekutuan.
64. Selain itu, Pelan Induk Bersepadu mengenai pembangunan Tanah Rizab Melayu, tanah wakaf dan instrumen wakaf akan digubal untuk menyediakan rangka kerja bagi pembangunan sosioekonomi di peringkat negeri dan tempatan.
65. Satu jawatankuasa yang dianggotai oleh wakil kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan ditubuhkan bagi menyedikan hala tuju yang menyeluruh berkaitan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan pembangunan tanah wakaf.
66. Satu undang-undang mengenai pembangunan tanah wakaf akan diperkenalkan di peringkat persekutuan yang akan menjadi garis panduan berkaitan pembangunan tanah wakaf di seluruh negara.
67. Kesemua usaha pembangunan wakaf ini dilakukan dengan mengiktiraf kedudukan Majlis Agama Islam negeri sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf. Bagi membolehkan kesemua cadangan yang dikemukakan dalam RMK-12 menjadi kenyataan, konsep ‘Cooperative Federalism’ perlu diaplikasi bagi membolehkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam pembangunan tanah wakaf direalisasikan secara efektif dan efisien serta dengan penuh tanggungjawab.
Tuan Yang di-Pertua,
ASPEK KEEMPAT: TADBIR URUS DAN PERUNDANGAN
68. Yang Berhormat Kuantan mencadangkan agar Rang Undang undang Wakaf digubal sebagai garis panduan dan boleh dijadikan sebagai instrumen ekonomi Islam. Bagi Rang Undang-Undang Wakaf (Wilayah-Wilayah Persekutuan) atau “RUU Wakaf”, ianya masih dalam tindakan aktif JAKIM. Untuk makluman, Kerajaan sebelum ini telah menggubal RUU Wakaf dan cadangan penggubalan RUU tersebut telah diedarkan kepada agensi-agensi yang berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan ulasan.
69. Walau bagaimanapun, penggubalan RUU Wakaf ini tidak dapat dimuktamadkan pada masa ini memandangkan terdapat beberapa isu dasar yang dibangkitkan oleh Kementerian Kewangan yang perlu diselesaikan dengan agensi yang terlibat.
70. Yang Berhormat Papar telah membangkitkan mengenai pembinaan Mahkamah Syariah di Papar. Untuk makluman Yang Berhormat, Projek Mahkamah Syariah Daerah Papar telah diluluskan peruntukan sebanyak RM15.0 juta. Proses perolehan secara tender telah selesai dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia pada 17 Mac 2021 dan projek dijangka dilaksanakan pada bulan November 2021.
71. Dalam memperkukuh Pembangunan Sosioekonomi di Sabah dan Sarawak, bagi memperkukuh kerjasama antara agensi persekutuan dan kerajaan negeri, kerjasam antara pihak-pihak berkuasa perlu ditingkatkan. Antara tindakan yang dirancang ialah mempertingkat peranan negeri dalam mempromosi Islam.
72. Walaupun urusan hal ehwal Islam adalah di bawah kuasa negeri, usaha akan diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan, melalui Jabatan Perdana Menteri portfolio Hal Ehwal Agama, dalam memudah cara penyampaian perkhidmatan yang cekap kepada rakyat. Peranan Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah dalam menyediakan program latihan Islam yang komprehensif akan dimantapkan dengan menaik taraf infrastruktur fizikal.
73. Kerja naik taraf Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak dijangka siap dalam tahun 2023. Ini akan menyediakan kemudahan yang lebih kondusif kepada pelatih bagi outcome pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik.
74. Dalam memperkasa Kumpulan Sasar Khusus, antara strategi memperkasa wanita ialah dengan mempertingkat perlindungan undang-undang. Isu keselamatan dan perlindungan wanita akan terus ditangani dengan memperkukuh undang-undang sivil dan syariah. Institusi mahkamah syariah akan terus diperkasa bagi memberikan keadilan kepada semua pihak.
75. Yang Berhormat Pasir Mas mencadangkan agar pengiktirafan gender ketiga tidak seharusnya dibenarkan, sama seperti LGBT. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan prinsip keagamaan dan nilai-nilai budaya tempatan. Justeru, perlakuan yang bertentangan dengan agama, adat dan budaya seperti LGBT dan gender ketiga tidak akan diiktiraf di negara ini.
76. Pendirian ini selari dengan “Cairo Declaration on Human Rights in Islam’ yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga menyatakan, segala perkara yang bercanggah dengan syariah Islam tidak boleh diamalkan di sebuah negara Islam. Jadi kempen sedemikian adalah tidak sesuai dalam konteks Malaysia,
77. Sepertimana Malaysia menolak LGBT begitulah juga Malaysia tidak akan mengiktiraf gender ketiga kerana ianya bertentangan dengan fitrah dan syariat Islam. Kewujudan gender ketiga ini tidak hanya melibatkan isu ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat, tetapi akan memberi impak yang sangat besar terhadap sistem perundangan sedia ada khususnya perundangan syariah.
Tuan Yang di-Pertua,
78. Saya rasa itu sahajalah perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat mengenai hal ehwal Islam yang sempat saya ulas. Sekian, mohon izin menggulung perbahasan. Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
–AlHijrah Online
Related
Discover more from ALHIJRAH ONLINE
Subscribe to get the latest posts sent to your email.
