VARIAN BAHARU COVID-19 BOLEH TERSEBAR DALAM 15 SAAT – DG HISHAM

Sumber Gambar: AFP

PUTRAJAYA: Jangkitan varian baharu COVID-19 termasuk Delta boleh tersebar menerusi udara dalam masa 15 saat sahaja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penyebaran jangkitan dalam jangka masa pendek itu menyebabkan kadar kebolehjangkitan meningkat dengan cepat.

“Kita lihat kebolehjangkitan virus biasa, R-naught atau RT dalam 2.5 hingga 3, tetapi bagi varian delta dan varian lain yang dikenalpasti adalah lebih tinggi iaitu 5 hingga 8.

“Kalau 100 orang dijangkiti dalam masa tempoh terdekat inkubasi akan menjangkiti 500 hingga 800 orang,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, sifat virus telah berubah kerana sebelum ini kes kontak rapat yang terdedah dengan pesakit positif COVID-19 boleh berjangkit dalam masa 15 minit atau jarak kurang 1 meter.

Noor Hisham mengingatkan orang ramai untuk mengamalkan pemakaian penutup muka, penjarakan fizikal, pemakaian ‘face shield’ dan kerap mencuci tangan.

“Elak tempat-tempat yang sesak, kalau ada jangkitan berlaku di tempat yang sempit di mana pengudaraan tidak berapa baik, ia boleh mempercepatkan jangkitan.

“Kita kena ambil langkah-langkah pencegahan dan pengawalan, dan tampil kedepan untuk mengambil vaksin sebagai satu cara untuk membendung serta mengawal dalam komuniti,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply