VIDEO: PEMINDAHAN BAGASI DIKATAKAN MENGANDUNGI MAYAT KHASHOGGI

Rakaman kamera litar tertutup di depan kediaman konsul jeneral Arab Saudi di Istanbul

Saluran TV Turki telah menyiarkan video yang menunjukkan beberapa lelaki membawa beg pakaian yang dikatakan mengandungi mayat wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi memasuki kediaman konsul negaranya di Istanbul.

Rakaman itu disiarkan A News memaparkan beberapa individu terbabit dikatakan membawa 5 bagasi melalui pintu utama kediaman itu yang terletak berhampiran dengan konsulat di mana Khashoggi dibunuh pada Oktober.

Video itu turut dipaparkan di laman web akhbar Sabah.

Akhbar Sabah melaporkan bagasi berkenaan dibawa ke kediaman itu menggunakan bas mini hitam pada 3:09 petang.

Pihak berkuasa Turki berkata laporan itu benar tanpa memberi apa-apa maklumat lanjut lain.

Khashoggi merupakan pengkritik Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan mula menjadi kolumnis di Washington Post selepas berhijrah ke Amerika Syarikat tahun lalu.

Pihak berkuasa Arab Saudi menyangkal tuduhan mengaitkan Putera Mohammed yang mengarahkan pembunuhan itu. Kejadian itu mencetus kemarahan antarabangsa dan merosakkan reputasi putera berusia 33 tahun itu.

Selepas berkali-kali mengeluarkan kenyataan bertentangan mengenai nasib Khashoggi, Riyadh kemudian menjelaskan dia dibunuh dan mayatnya dikerat ketika rundingan untuk memujuknya pulang ke Arab Saudi gagal.

Mayat Khashoggi sehingga kini masih belum dijumpai dan Turki telah berulang kali meminta Arab Saudi untuk memberitahu di mana mayat itu. Bulan lalu, polis Turki menggeledah vila terpencil di kawasan pantai di tenggara Istanbul sebagai sebahagian daripada siasatan.

Pejabat pendakwa raya Arab Saudi mengatakan bulan lalu, ia menuntut hukuman mati untuk lima orang. 11 dari 21 suspek telah didakwa dan akan dibicarakan di mahkamah Arab Saudi.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu berkata minggu lalu, Ankara sedang bekerjasama dengan negara lain untuk membawa siasatan pembunuhan Khashoggi ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Leave a Reply