WANITA RENTUNG DALAM KEMALANGAN DI LEBUH RAYA MEX

KUALA LUMPUR: Seorang wanita rentung manakala lima individu terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kereta di KM10.9 Lebuhraya Maju (MEX) di sini pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil Pegawai Bomba Kanan II Khairuddin Abdurrahman berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.14 pagi sebelum 17 anggota dan jentera daripada BBP Bukit Jalil dan BBP Pudu digegaskan ke lokasi.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati sebuah kereta terbakar 100 peratus berpunca daripada kemalangan jalan raya. Pemandunya iaitu seorang wanita rentung.

“Seorang lelaki yang memandu kereta Proton Saga yang turut terlibat dalam kemalangan sama pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Khairuddin berkata kereta yang terbakar itu turut dinaiki seorang lelaki dan tiga wanita dengan hanya lelaki itu mengalami kecederaan di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata kemalangan berkenaan berpunca apabila kereta yang terbakar iaitu Perodua Bezza dirempuh dari belakang oleh Proton Saga.

“Perodua Bezza sebelum itu berhenti di lorong kecemasan dan apabila kenderaan itu mula menyambung perjalanan menghala ke Putrajaya, ia dirempuh oleh Proton Saga.

“Rempuhan menyebabkan Perodua Bezza terbabit terbabas dan merempuh pembahagi jalan lalu terbakar. Empat penumpang berjaya menyelamatkan diri manakala pemandu wanita berkenaan, yang berusia 28 tahun, tersepit di tempat duduk sebelum rentung dalam kebakaran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zam Halim berkata mayat wanita itu dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Ahammad Sadiq Yusoff di talian 013-4545 679 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai berdekatan.–AlHijrah Online

Leave a Reply