200,000 DIJANGKA MAUT AKIBAT COVID-19 DI AS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mungkin mencatat hingga 200,000 kematian akibat COVID-19 dengan jutaan kes jangkitan di negara itu, demikian ramalan pegawai kesihatan di negara itu.

“Menyaksikan apa yang kita lalui sekarang, kita menjangkakan antara 100,000 hingga 200,000 kematian,” kata Dr Anthony Fauci, Pengarah Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan dalam saluran CNN semalam.

“Kita akan mempunyai berjuta-juta kes jangkitan,” kata pegawai kesihatan AS itu.

Agensi berita Anadolu melaporkan Fauci, anggota pasukan petugas koronavirus di Rumah Putih bagaimanapun berkata, ramalan itu boleh berubah kerana wabak penyakit itu  adalah “sasaran yang bergerak”.

Setakat petang semalam, sekurang-kurangnya 2,197 individu maut dan jumlah jangkitan meningkat kepada 125,300 kes dengan 2,612 individu sembuh, demikian menurut data Universiti Johns Hopkins.

Majoriti kematian dilaporkan di New York dengan 718 kes dengan Bandar New York mencatat 672 kes maut.

Kes maut pertama di AS berlaku pada 29 Februari di Washington dengan 136 kes kematian dilaporkan di kawasan itu.

Walaupun AS merekodkan kes koronavirus tertinggi berbanding negara-negara lain, Itali mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 10,023 kes.

Pertama kali muncul di Wuhan, China pada Disember lalu, virus yang dikenali sebagai COVID-19 itu telah merebak ke sekurang-kurangnya 177 negara dan wilayah. — Terjemahan AlHijrah Online/ Zamir Akmal Zambri

Leave a Reply