Kehidupan kita hari ini tidak dapat lari dari pengaruh media sosial. Tidak sah hidup sehari tanpa media sosial. Ada yang terus mendapatkan telefon pintar ketika pertama kali bangun dari tidur pada waktu pagi semata-mata untuk melihat apa perkembangan terbaru.
Melalui media sosial, kita berhubung dengan teman-teman, saudara mara malahan juga mereka yang tidak kita kenali sebelum ini. Kita berkongsi kehidupan seharian, berita, maklumat dan lain-lain dalam bentuk teks, gambar atau pun video. Selain itu, media sosial juga menjadi medan untuk berhibur dan mengisi masa lapang.
Ada yang
berlumba-lumba untuk menjadi orang yang pertama berkongsi maklumat atau berita
terkini. Namun, dengan lambakan maklumat yang diperolehi melalui media sosial,
tidak semuanya mengandungi maklumat yang benar. Malah tidak kurang yang
menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh membawa
kepada pertelingkahan dan permusuhan.
Ada pula yang menggunakan troll untuk menyiarkan mesej dengan nada menyindir terhadap seseorang individu atau kumpulan. Suasana menjadi hangat apabila troll tersebut mendapat sambutan pengguna di laman sosial, terutama melalui komen-komen yang diberikan.
Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini mengeluarkan hukum troll di media sosial. Menurut beliau, hukum asal menggunakan media sosial adalah harus jika tujuan dan kaedah penggunaannya tidak melanggar mana-mana hukum syarak. Sebaliknya, jika ia digunakan dengan tujuan dan kaedah yang bertentangan dengan hukum syarak seperti menjadikannya sebagai alat menyebarkan pendustaan, permusuhan dan perbalahan, maka hukumnya jatuh haram.
Troll yang
mempunyai unsur menghina, memperlekeh, menyindir, mengejek, menghasut,
menyebarkan pendustaan, membangkitkan permusuhan, menyemai kebencian dan
menjatuhkan maruah individu adalah perbuatan yang membawa ciri-ciri
menyalahi syarak yang dilarang dan boleh membawa kepada dosa.
Sehubungan itu, marilah
kita menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab dengan memeriksa maklumat
yang kita perolehi sebelum menyebarkan atau membuat sesuatu kesimpulan. Umpamanya,
kita boleh memeriksa kesahihah sesuatu maklumat dengan merujuk kepada sumber
berita yang boleh dipercayai, seperti kenyataan rasmi, portal rasmi dan
lain-lain.
Pengguna media sosial mestilah bertanggungjawab dengan tindak-tanduknya di media sosial. Langkah-langkah mestilah diambil untuk mengelak dari menimbulkan pertelingkahan atau perselisihan. Ada maklumat yang benar namun tidak semua maklumat yang diterima boleh dipercayai. Pastikan maklumat yang ingin disebarkan diperiksa terlebih dahulu kesahihannya.
Adalah lebih baik untuk kita tidak berkongsi atau memberi komen pada perkara yang tidak pasti kesahihannya. Apa yang perlu diberi perhatian ialah agar kita berhati-hati di dalam menyebar maklumat yang diterima dari media sosial dan tidak menjadi batu api yang mengeruhkan lagi keadaan.
Begitu juga,
janganlah kita menjadikan perbezaan pandangan tentang sesuatu perkara sebagai
sebab untuk menimbulkan permusuhan sesama insan, apatah lagi di kalangan sesama
umat Islam.
Dalam banyak keadaan, berdiam diri dari memberi komen pada sesuatu troll itu adalah tindakan yang lebih baik. Perkongsian dari cybertrooper atau pemilik akaun media sosial yang tidak diketahui identiti sebenar janganlah dilayan.
Tidak salah untuk mengejar populariti, memperoleh mesej yang viral dan jumlah likes yang tinggi, namun janganlah sampai kita terjebak dalam perkara yang boleh membawa kepada dosa. Ingatlah bagi setiap Muslim, setiap amalannya akan dikira oleh Allah swt sebagai amalan yang baik atau amalan yang buruk yang akan dihitung pada hari akhirat nanti.
*Mohammad Abdul Hamid, penulis merupakan YDP IKRAM Bandar Tun Razak
คาสิโนออนไลน์
26 January 2019 at 10:10 PM
What’s up to every body, it’s my first pay a visit of this weblog; this website
carries remarkable and in fact excellent stuff
for readers.