AS, China bertanggungjawab wujudkan kemakmuran global – Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) dan China bertanggungjawab menamatkan pertikaian perdagangan dengan mengetepikan kepentingan masing-masing demi kemakmuran global.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu berucap pada forum di Washington DC, sebagaimana laporan Bernama hari ini berkata, semua ekonomi adalah sebahagian daripada ekosistem ekonomi global.

Justeru itu AS dan China sepatutnya mengambil kira kepentingan semua negara dan mencari jalan untuk menamatkan perang perdagangan mereka

“Hanya dengan menjadi berhemah dan bertimbang rasa terhadap kepentingan semua negara akan membawa kemakmuran kepada global dan dapat dikongsi semua,” petik Bernama.

Beliau juga berkata, perang perdagangan antara AS dan China boleh mendedahkan ekonomi negara kepada masalah dan mewujudkan ketidaktentuan yang telah menyebabkan peralihan dalam rantaian bekalan global dan peningkatan perlindungan.

“Ketidaktentuan itu akan memberi kesan meluas kepada perdagangan dunia untuk tahun-tahun akan datang, dan tentu saja mengancam kemakmuran global,” katanya lagi sebagaimana dipetik Bernama.

Selain itu beliau juga menyatakan keyakinannya, sekiranya semua negara berusaha mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan global dengan saling menghormati kedaulatan dan kebebasan masing-masing, semua negara akan mendapat faedah daripada kemakmuran itu.

“Kita perlu mencapai persetujuan bahawa keselamatan anda juga keselamatan saya. Hanya apabila semua negara komited untuk mengekalkan keselamatan bersama, keamanan dan kemakmuran global akan terserlah,” petik Bernama lagi.

Dalam laporan Bernama itu juga, beliau dipetik sebagai berkata, negara-negara yang memilih untuk mengejar kepentingan mereka sendiri dan terjebak dalam permainan untuk mengaut keuntungan semata-mata akan mengancam keselamatan masing-masing dan natijahnya, seluruh dunia akan runtuh.

Muhyiddin yang sedang dalam rangka lawatan kerja di AS berucap pada Forum Kepimpinan Banyan, bertema hubungan ekonomi, politik dan strategik AS-Malaysia, di Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa di ibu negara AS ini pada Isnin.

Leave a Reply