ASKAR WATANIAH DITEMUI TERGANTUNG DI GARAJ KENDERAAN

IPOH: Seorang askar wataniah ditemui mati dalam keadaan tergantung di garaj kenderaan Bahagian Pentadbiran, Pusat Latihan Askar Wataniah (Puswatan) pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa yang berusia 37 tahun itu dipercayai bertindak demikian ekoran masalah kewangan yang dihadapi.

Ujar ACP A. Asmadi, hasil bedah siasat terhadap mangsa mendapati kematiannya disebabkan jerutan tetapi penyiasatan masih berlangsung.

“Kita masih menjalankan siasatan dengan menghubungi keluarga mangsa dan sebagainya.

“Kita cuba mendapatkan penjelasan daripada keluarganya sendiri sama ada ianya berkaitan dengan along (peminjam wang haram) atau tidak, sehingga menyebabkan dia mengambil tindakan begitu (gantung diri),” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

A. Asmadi berkata, difahamkan sebelum kejadian, rakan setugas melihat mangsa dalam keadaan baik dan sedang memandu sebelum meletakkan kenderaan di tepi garaj itu.

“Rakan sekerja mengatakan dia memang nampak dalam seminggu dua ni agak gelisah (mungkin) disebabkan ada masalah keluarga,” katanya.

Terdahulu, pada jam 7.09 pagi tadi mangsa dijumpai oleh seorang pegawai yang ketika itu sedang menuju ke Pejabat Bahagian Pentadbiran di pusat latihan itu dalam keadaan tergantung di garaj.

Pasukan Puswatan bertindak menghubungi pihak polis dan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan pihak hospital yang tiba untuk menjalankan pemeriksaan pada jam 7.55 pagi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dalam tempoh dua ke tiga jam sebelum mayatnya ditemui. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply