AZHAR HARUN DILANTIK YDP DEWAN RAKYAT BAHARU

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof.

Pelantikan itu selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul untuk memilih Azhar Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Azhar Harun dalam ucapannya berkata pelantikan tersebut merupakan satu penghormatan tingggi dan satu amanah kepada beliau.

“Sepertimana ikrar yang telah saya bacakan tadi, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menjalankan tugas dan memenuhi amanah tersebut.

“Memandangkan keahlian dewan yang mulia ini, yang dipenuhi dengan ahli-ahli yang amat berpengalaman, para peguam tersohor dan para cendiakawan yang ternama, saya tidak perlu lagi menyentuh tentang konsep pembahagian kuasa yang kita amalkan dan kedudukan Parlimen di dalam skema pentadbiran negara kerana saya rasa ahli-ahli yang berhormat semua sudah tentunya lebih arif daripada saya tentang hal tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said turut dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat menggantikan Nga Kor Ming yang meletakkan jawatannya hari ini. — AlHijrah Online

Leave a Reply