BANJIR PERTAMA DI TERENGGANU

SETIU: Dua daerah di Terengganu  iaitu Kuala Nerus dan Setiu mula dinaiki air ekoran hujan lebat sejak malam tadi.

Seramai 135 mangsa daripada 44 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kuala Nerus dan Setiu setakat jam 3.00 petang tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, di Balai Raya Kampung Bari Besar Setiu terdapat 16 mangsa dan Masjid Gong Terap, Setiu 48 mangsa.

Manakala di Masjid Chalok Kedai menempatkan lima mangsa dan di Kuala Nerus pula SK Kompleks Mengabang Telipot menempatkan 24 mangsa.

Sementara itu, kenyataan Jabatan Pengairan Dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, Sungai Chalok di daerah Setiu telah melepasi paras bahaya dengan ketinggian 9.46 meter (paras bahaya 8.40 meter) pada pukul 2.30 petang tadi.

Stesen bacaan Sungai Besut di Jambatan Keruak merekodkan kenaikan air setinggi 34.47 meter mengatasi paras amaran 34 meter dan di Setiu, stesen bacaan Sungai Setiu di Kampung Besut pula merekodkan kenaikan setinggi 17.43 meter mengatasi paras amaran 17 meter. –AlHijrah Online

Leave a Reply