BERMULA DENGAN TIGA PEKERJA, AEO FREIGHT KINI RAIH PENDAPATAN LEBIH RM80 JUTA

KUALA LUMPUR: Kerja keras, dedikasi, tidak mudah putus asa, banyak berdoa dan sedekah antara resepi kejayaan Aeo Freight Sendirian Berhad, sebuah syarikat Malaysia yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan logistik antarabangsa.
Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2005 itu bermula dengan hanya tiga pekerja namun kini ia telah melangkah jauh serta mencapai kejayaan yang luar biasa dan mempunyai lebih 60 pekerja dengan pendapatan syarikat melebihi RM80 juta.
Aeo Freight kini mempunyai beberapa cawangan di Pulau Pinang, Selangor dan Johor dengan lebih 200 pelanggan domestik dan luar negara.
Dalam usaha mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa Aeo Freight juga telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat logistik dari Singapura.
Ketika banyak pernigaan dihimpit cabaran ketika pandemik COVID-19, Aeo Freight berjaya mengekalkan perniagaan dan tenaga kerjanya tanpa sebarang pemberhentian, potongan gaji atau faedah lain.
Syarikat itu bahkan berkembang pada masa tersebut, dan hasil perniagaan lebih memberangsangkan daripada tahun sebelumnya.
Prestasi serta fasiliti syarikat yang baik dalam bidang logistik menyaksikan syarikat itu telah diberi kepercayaan menguruskan barangan jualan beberapa syarikat atas talian terkemuka di Malaysia.
Pengasas dan Pengarah Urusan Aeo Freight Rizal Abdullah berkata antara perkara penting dalam kejayaan syarikatnya yang boleh dijadikan panduan bakal usahawan ialah pemikiran yang positif, asas pengetahuan yang kukuh, perancangan yang teliti, dan pemasaran strategic serta jangan mudah putus asa, perbanyakkan berdoa, dan sedekah.

“Bagi mereka yang bertungkus-lumus membina perniagaan yang berjaya, jangan sekali-kali berputus asa.
“Ketekalan dan ketekunan adalah kunci kejayaan dalam perniagaan, walaupun dalam keadaan tidak menentu. Sentiasa berdoa dan bersedekah, kerana ia adalah tangga kejayaan seseorang,” katanya.
Tambahnya Aeo Freight mempunyai cita-cita tinggi dalam bidang logistik dan mahu menjadi sebuah syarikat yang bukan hanya terkenal di peringkat domestik tetapi juga antarabangsa. – AlHijrah Online