BIROKRASI PUNCA PEMBANGUNAN USAHAWAN TERHALANG

KUALA LUMPUR: Karenah birokrasi dikenal pasti antara yang menjadi penghalang kepada pembangunan usahawan di negara ini terutama melibatkan pembiayaan perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan kementeriannya komited untuk mengurangkan karenah birokrasi bagi memudahkan urusan para usahawan terutama ketika negara masih dibelenggu ancaman wabak COVID-19 yang memberi kesan besar kepada ramai peniaga.

“MEDAC telah mengenal pasti beberapa halangan birokrasi yang menjadi batu penghalang kepada pembangunan usahawan negara terutamanya dalam konteks pembiayaan kepada usahawan.

“Kementerian ini akan terus memastikan karenah birokrasi ini akan dapat dikurangkan dan perkhidmatan penyampaian agensi di bawah MEDAC dapat dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat (21 Ogos 2020).

Menurut Wan Junaidi, selaras dengan perkembangan terkini Dasar Industri 4.0, MEDAC akan terus memastikan peruntukan dapat dipertingkatkan bagi membantu usahawan terutamanya usahawan mikro dan sektor informal mengadaptasi automasi, mekanisasi dan digitalisasi dalam perniagaan.

“Visi MEDAC ini juga adalah sebagai salah satu usaha pihak kerajaan dalam membantu usahawan menangani impak COVID-19 seterusnya dapat melonjakkan ekonomi negara,” katanya.

Tambah Wan Junaidi MEDAC komited dalam pelaksanaan projek pembangunan yang telah dirancang dan diluluskan bagi memastikan hasrat kerajaan dalam menjayakan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Unggul pada tahun 2030.

Dalam pada itu beliau memaklumkan RM530 juta dana untuk membantu usahawan yang terkesan akibat COVID-19 telah disalurkan MEDAC.

Nilai itu merupakan 85 peratus daripada jumlah keseluruhan RM619.7 juta yang diperuntukkan kerajaan termasuk dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply