TV ALHIJRAH BANTU KUMPUL DANA KEMPEN TABUNG PAHLAWAN 2020

KUALA LUMPUR: Sumbangan dan jasa para perwira veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap keamanan negara ini tidak ternilai harganya.

Oleh itu rakyat Malaysia kini disaran untuk kembali menghargai dan membalas sumbangan para veteran ATM dengan membantu mereka yang kurang bernasib baik melalui sumbangan kepada kempen Tabung Pahlawan 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan RM10 juta disasarkan melalui kempen berkenaan dan lebih 10,000 veteran tentera termasuk balu dan anak mereka dijangka menerima manfaat daripada sumbangan itu.

Mahu nasib veteran ATM dan keluarga dibela, TV AlHijrah bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) mengumumkan untuk berganding bahu mengumpul dana bagi membantu veteran ATM terutamanya mereka yang berada dalam kategori kurang berkemampuan, veteran kurang upaya (VKU) serta balu dan anak-anak mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah mengambil tanggungjawab penuh dalam memastikan misi mengumpul dana Kempen Tabung Pahlawan 2020 ini berjaya mencapai sasarannya.

“Sebagai stesen televisyen Islam utama negara, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk bukan sahaja membantu mewujudkan kesedaran dan menyampaikan berita terkini yang tepat pada masanya, malahan menguar-uarkan usaha pihak kerajaan yang memanfaatkan ummah. Mengumpul dana bagi Kempen Tabung Pahlawan ini adalah salah satu di antaranya.

“Kami berbesar hati menjadi rakan media yang membantu JHEV mengumpul dana bagi membantu veteran ATM yang memerlukan. Justeru, kami pastikan kempen yang dilaksanakan di TV AlHijrah ini bersifat holistik dan bersifat 360 darjah,” katanya.

Namanzee berkata, TV Alhijrah akan menggunakan semua platform yang dimiliki sama ada di kaca televisyen mahupun platform digital bagi mencapai demografi sosial yang lebih luas serta merayu untuk bantuan ini.

Tambahnya kempen ini secara rasmi akan dijalankan TV AlHijrah bermula 21 Ogos 2020 sehingga penghujung September 2020.

“Kami akan tayangkan dua kapsul istimewa yang dihasilkan oleh penerbit dalaman TV AlHijrah dalam usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa keamanan yang kita kecapi pada waktu ini merupakan hasil pengorbanan tidak bertepi pasukan keselamatan negara, khusunya ATM.

“Kapsul patriotik yang dilakonkan oleh selebriti terkenal Malaysia seperti Dato’ Jalaluddin Hassan dan Emelda Rosmila akan sentiasa ditayangkan terutamanya pada waktu puncak,” katanya.

Namanzee turut menyeru rakyat Malaysia yang prihatin supaya terus menonton TV AlHijrah bagi mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa tentang pencapaian kempen ini dan dapat menghulur sumbangan ikhlas sebagai tanda terima kasih atas hadiah keamanan dan keselamatan yang dinikmati pada masa ini.

Ujarnya setiap sumbangan sama ada besar atau kecil adalah amat bermakna dan akan disalurkan kepada pihak JHEV.

Majlis pelancaran program rakan strategik diadakan secara langsung di dalam program bual bicara Assalamualaikum di TV AlHijrah pada 21 Ogos 2020 disertai oleh barisan kepimpinan negara iaitu Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affandi Buang dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbang boleh disalurkan ke akaun Maybank atas nama Yayasan Veteran ATM bernombor 5643 4262 2956. — AlHijrah Online

Leave a Reply