“SAYA HENDAK TV ALHIJRAH BERTAPAK DI HATI BUKAN ISLAM” – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Stesen televisyen Islam utama negara, TV Alhijrah yang menyambut ulangtahun ke-10 hari ini diharap akan mampu meluaskan capaian dakwahnya bukan sahaja kepada orang Islam tetapi bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata usaha itu bersesuaian dengan kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini agar mereka dapat lebih mengenali Islam.

“Banyak perkara yang boleh kita fikir dari semasa ke semasa sebab kita mempunyai masyarakat yang pelbagai bangsa yang memerlukan kita menyantuni semua pihak,” katanya.

Zulkifli berkata usaha untuk meluaskan dakwah kepada bukan Islam akan digerakkan bersama dan pihaknya memberikan sokongan penuh terhadap perkara itu.

“Saya hendak TV Alhijrah bertapak dalam kalangan bukan Islam bahkan meluaskan capaiannya merentasi negara sekitar kita,” kata Zulkifli kepada Alhijrah Online selepas hadir pada Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran 10 tahun TV Alhijrah hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary serta tetamu jemputan yang terdiri daripada barisan pengacara yang pernah terlibat sama menaikkan nama TV Alhijrah.

Ahmad Marzuk ketika ditemui menzahirkan ucapan tahniah kepada TV Alhijrah dan mengharapkan stesen TV itu akan mempelbagaikan kandungannya agar sesuai ditonton segenap lapisan masyarakat.

“Kita di Malaysia ada beberapa segmen masyarakat kita ada orang yang minat ilmiah dan akademik, kita ada golongan muda yang minat hiburan, kita ada kanak-kanak yang minat animasi dan sebagainya.

“Apa yang penting TV Alhijrah kena mempelbagaikan kandungan penyiaran supaya menepati kehendak semua masyarakat,” katanya. — Alhijrah Online

Leave a Reply