COVID-19: EU TINGKAT TAHAP RISIKO, NAMUN TIDAK TUTUP PINTU SEMPADAN

BRUSSELS: Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) pada Isnin meningkatkan tahap risiko jangkitan COVID-19 kepada tahap tinggi, namun Kesatuan Eropah (EU) masih tidak menutup pintu sempadan antara negara anggotanya, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut penilaian ECDC, risiko jangkitan COVID-19 ke atas orang di EU/ EEA (Kawasan Ekonomi Eropah) dan United Kingdom pada tahap “sederhana hingga tinggi”. Sebelum ini pada 23 Februari, penilaian adalah “rendah hingga sederhana”.

“Dengan kata lain virus terus menular,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada sidang akhbar di Brussels.

PENINGKATAN KES BAHARU 

Sejak wabak COVID-19 dilaporkan di Itali yang menyaksikan sejumlah 1,835 orang sah dijangkiti, ECDC menjalankan penilaian setiap hari selama lebih seminggu.

Sebanyak 52 kematian dilaporkan, 149 lagi pesakit pulih, kata ketua Jabatan Perlindungan Awam Itali dan Pesuruhjaya untuk kecemasan COVID-19, Angelo Borrelli.

Dalam taklimat pada Isnin lebih 23,300 ujian telah dijalankan sejak pertama kali epidemik dikesan 21 Februari lalu.

Jerman pula melaporkan 150 kes disahkan pada Isnin yang dilaporkan di 10 daripada 16 negeri persekutuan.

Walaupun situasi menggusarkan, Menteri Kesihatan Jerman Jens Spahn menganggap tidak perlu menutup sempadan di samping tidak mengalakkan pembatalan acara utama atau penutupan operasi syarikat.

Tahap risiko jangkitan di Jerman dikategorikan “sederhana”.

Di Perancis pula mencatatkan 191 kes dengan tiga kematian pada Isnin. Kes jangkitan meningkat 61 berbanding Ahad, menyaksikan kerajaan Perancis melarang semua aktiviti perhimpunan.

Di kawasan lebih 10 kes jangkitan disahkan, sekolah ditutup sehingga diberitahu kelak dan penduduk disyorkan mengehadkan perjalanan mereka.

Britain pula bertindak menandatangani satu  pelan terperinci untuk memerangi virus maut itu.

Perkara itu dimuktamadkan ketika Perdana Menteri Boris Johnson pada Isnin mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kecemasan COBRA, ketika Britain mengesahkan empat kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan sehingga kini 40. 

Johnson berkata meskipun wabak semakin menular, beliau menggesa orang ramai menjalankan perniagaan seperti biasa kerana ketika ini keadaan masih terkawal. 

Di Austria, bilangan pesakit meningkat kepada 18 orang pada Isnin.Ketua Pengarah Keselamatan Awam Franz Lang berkata pihak berkuasa telah mengambil langkah-langkah pencegahan bagi memastikan keadaan terkawal.

Finland pula melaporkan satu lagi kes baharu dengan jumlah keseluruhan sebanyak tujuh kes.

Kementerian Hal Ehwal Sosial dan Kesihatan Finland berkata pada Isnin kira-kira 150 orang tanpa diagnosis di kuarantin. 

Menurut pihak berkuasa, apabila kadar jangkitan melebihi peratusan tertentu, Finland akan menghentikan arahan kuarantin terhadap mereka yang tiodak didiagnosis.

“Ini dilihat perlu untuk memastikan masyarakat dapat terus berfungsi,” katanya.

Susulan Sweden meningkatkan tahap risiko kepada “sangat tinggi” pada Jumaat lalu, negara menaikkan tahap risiko penularan “rendah” kepada “sederhana” pada Isnin.

LANGKAH PERANGI VIRUS

Setakat ini lebih 20 negara Eropah terjejas wabak COVID-19. Langkah-langkah pencegahan telah diambil termasuk menghasilkan penawar.

EU berusaha menyelaraskan langkah pencegahan antara negara anggota dalam usaha memastikan persediaan secara menyeluruh.

“Terdapat banyak usaha melakukan penyelarasan sejak lapan minggu lalu,” kata von der Leyen.

Sambil memuji usaha diambil Suruhanjaya Eropah, beliau turut  mengumumkan penubuhan pasukan tindak balas COVID-19, dianggotai  lima Pesuruhjaya Eropah.

Pasukan itu akan menumpukan kepada tiga agenda utama – perubatan, mobiliti dan ekonomi. 

Pada sidang akhbar, persoalan sama ada aktiviti orang ramai akan disekat telah dibangkitkan namun, von der Leyen berkata perkara itu tidak dibincangkan. 

Bagaimanapun, Republik Czech pada Isnin mengikuti langkah beberapa negara lain dengan menggantung operasi penerbangan terus dari kawasan terjejas termasuk Korea Selatan dan utara Itali. 

“Kami menggantung penerbangan dari Milan, Bergamo, Venice, Bologna di Itali dan Korea Selatan kerana ia dilihat perlu bagi melindungi rakyat kita,” kata Menteri Kesihatan Czech Adam Vojtech di Twitter. — BERNAMA

Leave a Reply