MUHYIDDIN IKRAR LANTIK JEMAAH MENTERI YANG BERSIH, BERINTEGRITI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji akan melantik anggota jemaah menteri daripada kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

Muhyiddin berkata beliau sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.

“Kerajaan pimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik,” kata beliau dalam ucapan bertajuk ‘Rayuan Kepada Rakyat Malaysia’ yang disiarkan stesen-stesen televisyen malam ini.

Muhyiddin berkata ini termasuk usaha-usaha untuk membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkasa undang-undang, peraturan dan amalan berkaitan.

Ini merupakan ucapan sulung beliau yang ditujukan kepada rakyat Malaysia selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, semalam.

Muhyiddin berkata beliau faham apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan mereka.

Dalam ucapan yang mencerminkan apa yang didambakan rakyat, beliau berkata: “Saudara memerlukan wang untuk membeli barang keperluan harian, membeli buku dan keperluan sekolah untuk anak-anak, membayar bil air, letrik dan sewa rumah, membayar pinjaman kereta dan kediaman serta lain-lain keperluan untuk menyara kehidupan sekeluarga.” 

Perdana Menteri seterusnya berkata perkhidmatan kesihatan, bidang pendidikan dan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 akan turut diberikan tumpuan. — BERNAMA

Leave a Reply