COVID-19: NGO PALESTIN HARGAI BANTUAN DARI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) menyifatkan bantuan perubatan, termasuk peralatan perlindungan diri (PPE), yang dihantar Wisma Putra ke Palestin bagi membendung COVID-19 sebagai bukti hubungan baik kedua-dua negara.

Bantuan disampaikan ke Palestin melalui kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia itu juga menggambarkan solidariti berterusan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin.

Pengerusi PCOM, Muslim Imran dalam suratnya kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, warga Palestin amat menghargai bantuan dari Wisma Putra itu.

“Bantuan ini menunjukkan hubungan kuat dan persaudaraan antara dua negara dan bukti solidariti berterusan Malaysia dengan Palestin dalam semua keadaan,” katanya dalam surat kepada Hishammuddin bertarikh 7 Mei itu yang dihantar kepada AlHijrah Online hari ini.

Muslim turut memuji usaha Kerajaan Malaysia, khususnya tim perubatan, polis dan tentera yang bersungguh-sungguh mengekang penularan COVID-19.

“Kami berdoa kepada Allah swt agar Malaysia dan masyarakat dunia menang dalam perang melawan penyakit ini,” kata Muslim.

Antara NGO Malaysia yang menghantar bantuan ke Palestin sejak sekian lama ialah Viva Palestina Malaysia, Aman Palestin, Muslim Care, Cinta Gaza Malaysia, Mercy Malaysia, MyCare, PGPF dan MAPIM. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply