E-TAIB: PERTANYAAN BERHUBUNG IHRAM & FIQH WANITA ANTARA PALING POPULAR

MAKKAH: Pertanyaan berhubung larangan ihram, fiqh wanita dan bayaran dam antara soalan popular yang kerap diajukan Jemaah haji menerusi talian ibadat haji (e-Taib) yang dimuatkan dalam aplikasi THhujjaj.
Pengurus Bimbingan Makkah Shahrin Awaludin berkata, setakat ini pihaknya menerima 1,300 soalan dalam tempoh dua minggu selepas ketibaan Jemaah haji di tanah suci sejak 21 Mei lepas.
“Sebenarnya bukan sahaja ibadat haji tapi juga berkaitan tentang solat, bersuci, doa & apa juga soalan boleh dikemukakan yang mana sistem ini menggunakan sistem bualan secara langsung iaitu live chat.” katanya.
Tambah beliau, persoalan yang diajukan Jemaah akan dijawab oleh empat pembimbing ibadah haji tanah suci (Pihtas) yang bertugas dalam tiga syif bermula jam 7 pagi hingga 10 malam.
“Kita juga ada tiga orang pakar rujuk bagi soalan-soalan yang mungkin agak baru ataupun agak sukar, jadi kita punya guru-guru agama ataupun petugas akan merujuk kepada kita punya pakar rujuk,” jelasnya.
E-Taib akan beroperasi 24 jam dua minggu sebelum wukuf dengan jangkaan lebih 5,000 soalan dikemukakan pada musim haji ini.
Beliau berkata soalan berkenaan akan dianalisis dan dikemas kini ke dalam buku Soal Jawab Haji, Umrah dan Ziarah serta portal e-Bimbingan TH untuk rujukan jemaah haji pada masa depan – Alhijrah Online