GRED GAJI PEMBANTU HAL EHWAL ISLAM SEDANG DIKAJI – IDRIS AHMAD

Senator Haji Idris Haji Ahmad

KUALA NERUS: Kerajaan dalam usaha menaikkan gred jawatan pembantu hal ehwal Islam yang ditugaskan di pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, seramai 2,124 pembantu hal ehwal agama dilantik dan diberi tanggungjawab melaksanakan pelbagai program keagamaan di pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

Setakat ini, katanya, tangga gaji pembantu hal ehwal agama yang turut bertanggungjawab melaksanakan pelbagai program keagamaan adalah antara gred 19 dan 29.

“Kita dalam usaha menaikkan tangga gaji jawatan diseliakan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) itu kepada gred 41 dan 44,” katanya dalam ucapan penangguhan sempena Muktamar PAS ke-67, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Idris meminta pengusaha pusat tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok untuk mendaftar institusi mereka bagi membolehkan bantuan disalurkan.

Katanya, kerajaan bersetuju memindahkan peruntukan daripada infrastruktur kepada operasi.

“Kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk inisiatif pendidikan bagi kerja penyelenggaraan sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok.

“Sehingga Ogos lalu, kerajaan membelanjakan RM60 juta untuk membantu 1,066 institusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok bagi penambahbaikan dan kerja menaik taraf.

“Peruntukan bagi kerja penyelenggaraan kepada institusi pendidikan Islam termasuk sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok sudah disalurkan dan berbaki RM40 juta,” katanya.

Idris berkata, pengusaha institusi pendidikan persendirian diminta berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bagi membolehkan penyaluran bantuan dilaksanakan. –AlHijrah Online

Leave a Reply