ITALI TAMATKAN ‘LOCKDOWN’ MULAI 4 MEI

ROM: Itali akan mula menarik balik perintah berkurung atau ‘lockdown‘ di seluruh negara itu bermula 4 Mei dengan membenarkan perniagaan penting beroperasi selepas tujuh minggu tanpa aktiviti, kata Perdana Menteri Giuseppe Conte.

Agensi berita Anadolu melaporkan Conte mengumumkan fasa kedua penularan koronavirus itu dalam sidang media ditunggu-tunggu rakyat Itali semalam, yang setakat ini menyaksikan lebih 26,600 kes maut dan 106,000 dijangkiti di negara itu.

Conte bagaimanapun memberi amaran kepada warga Itali bahawa penarikan lockdown tidak menamatkan peraturan penjarakan sosial, yang amat penting bagi mengelak peningkatan semula jangkitan wabak.

Pergerakan antara wilayah bagaimanapun masih lagi terhad kepada perjalanan kecemasan, urusan kesihatan dan kerja.

“Jika anda sayang Itali, tolong jaga jarak,” kata Conte menambah yang ini adalah permulaan fasa baru rakyat Itali hidup secara bersama (co-exist) dengan virus itu.

Perdana Menteri Itali itu berkata, taman awam dan taman bunga akan dibuka semula dan orang ramai boleh mengunjungi saudara mara mereka jika menetap dalam wilayah sama.

Ketika pertemuan keluarga, orang ramai perlu memakai penutup hidung dan mulut dan mereka tidak dibenarkan mengadakan parti persendirian.

Conte menegaskan jika peraturan itu dilanggar, lengkungan jangkitan wabak akan meningkat semula dengan risiko merebak di luar kawalan.

“Kematian akan meningkat dan kita akan berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak boleh dibaiki lagi,” katanya.

Bermula 4 Mei depan, kesemua aktiviti sektor pengeluaran dan pembinaan akan beroperasi semula.

Bagaimanapun, kesemua pihak terbabit perlu memastikan protokol keselamatan baharu yang diperkenalkan dipatuhi.

Majlis pengebumian juga dibenarkan, namun harus dilakukan di tempat terbuka dan tidak melebihi 15 individu.

Conte berkata, jika semua berjalan lancar, kedai runcit akan dibuka semula pada hujung Mei, manakala restoran, cafe, kedai kopi dan kedai gunting rambut akan dibuka pada 1 Jun. Sekolah akan dibuka semula pada September.

Kerajaan Itali sedang merangka pakej baharu untuk menyuntik ekonominya yang dijangka menguncup lapan peratus. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply