JPN MELAKA SAHKAN 31 KES INFLUENZA A

Last Updated on

9

MELAKA TENGAH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka mengesahkan 31 kes influenza A melibatkan 29 murid, seorang kanak-kanak prasekolah dan seorang guru perempuan berusia 33 tahun di negeri ini sehingga jam 9 pagi tadi.

Pengarahnya, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, walaupun jumlah tersebut melibatkan peningkatan seramai 18 orang sejak kelmarin, namun ia disifatkan masih terkawal.

Menurutnya, kesemua 31 kes itu membabitkan sekolah di tiga daerah iaitu Melaka Tengah sebanyak 10 buah sekolah, Alor Gajah (empat) dan Jasin (tiga).

“Berdasarkan laporan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), daripada 31 kes terlibat, 22 kes dilaporkan di Melaka Tengah, lima di daerah Alor Gajah dan empat di daerah Jasin.

“Walaupun ada pertambahan jumlah mangsa yang dijangkiti berbanding sebelumnya, namun tiada sekolah atau kelas yang ditutup,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di JPN Bukit Baru, di sini hari ini.

Mohd Azam bagaimanapun berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri sekiranya terdapat keperluan sekolah perlu ditutup, namun memberitahu tiada sebarang arahan setakat ini.

Beliau berkata, kesemua yang dijangkiti wabak itu kini sebahagiannya berada di hospital dan sebahagian lain dikuarantin di rumah masing-masing termasuk guru wanita tersebut.

Dalam masa sama, pihaknya turut menggerakkan pegawai-pegawai di peringkat JPN dan PPD untuk memantau perkembangan tersebut di samping menasihatkan guru besar dan pengetua sekolah supaya memberi perhatian serius berkaitan wabak tersebut serta mengambil tindakan segera mengikut prosedur operasi standard Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Sementara itu Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan beberapa agensi lain untuk mengetatkan kawalan di beberapa pintu masuk di negeri ini sebagai salah satu langkah mengawal dan mencegah virus influenza.

“Setakat ini, ujian saringan dan pemantauan kesihatan hanya dijalankan terhadap pelancong asing yang memasuki negeri ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Laksamana sahaja.

“Kita juga akan bekerjasama dengan KKM untuk membuat hebahan maklumat berkenaan klinik-klinik swasta sekitar negeri itu yang membekalkan vaksin influenza,” katanya. — SINAR HARIAN

Leave a Reply