Kamera badan pantau pegawai tiada integriti

Gambar kecil: M Hafiz Zainol Abidin. FOTO SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR – Penggunaan kamera badan mampu mengurangkan kes salah laku anggota penguat kuasa dan kebocoran hasil negara.

Peguam, M Hafiz Zainol Abidin yang ditemubual Sinar Harian menyatakan, dari satu sudut ia mungkin boleh mengurangkan kes berkaitan salah laku mana-mana penguat kuasa kerana setiap pergerakan dan tindakan mereka akan dipantau.

“Ia menjadi salah satu mekanisme pemantauan ketat terhadap mereka. Langkah ini akan lebih mendidik dan memastikan setiap tugasan pihak penguat kuasa mengikut prosedur operasi standard (SOP). Ini perkembangan yang positif,” katanya.

Menurut beliau lagi, cadangan itu juga tidak memerlukan sebarang pindaan dan penggubalan akta sedia ada, hanya memerlukan arahan tetap atau pekeliling kepada pihak penguat kuasa dan memerlukan tempoh percubaan.

Selain itu, rakaman video juga merupakan ‘documentary evidence’, satu bentuk pembuktian yang diterima dari sudut undang-undang dan terpakai dalam proses pengadilan di mahkamah, malah pembuktian cara ini lebih jelas dan tepat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin menjelaskan, kerajaan bercadang untuk menggunakan kamera badan kepada semua anggota polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen sebagai usaha mengekang kebocoran hasil negara.

Beliau berkata, langkah tersebut diambil berikutan negara kerugian sekitar RM3 hingga RM5 bilion setahun akibat masalah integriti pegawai dan kekurangan peralatan teknologi terkini sehingga mengalami kebocoran hasil di pintu keluar masuk negara.

Mengikut statistik, rasuah dalam kalangan penjawat awam dan penguat kuasa kebanyakannya bukanlah dari mereka yang berpangkat tinggi.

Leave a Reply