KECEWA HIJRAH DIRI DIKELUARKAN GOOGLE PLAY STORE

KUALA LUMPUR: Keputusan Google Play Store mengeluarkan aplikasi Hijrah Diri dari senarai yang boleh dimuat turun adalah amat mendukacitakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana terdapat banyak lagi aplikasi yang mendorong kepada maksiat masih berleluasa.

“Saya telah dimaklumkan oleh pihak agensi di mana sebuah aplikasi yang telah dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Hijrah Diri, sebuah aplikasi untuk mengajak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kembali kepada fitrah diri, telah dikeluarkan oleh Google Play.

“Ternyata ini adalah perkara yang sangat mendukacitakan apabila sebuah aplikasi untuk menarik manusia kembali kepada fitrah diri mereka, apatah lagi menjelang bulan yang mulia Ramadan Al Karim, telah dinafikan oleh golongan tertentu, sedangkan banyak lagi aplikasi yang mendorong kepada maksiat telah berleluasa dengan megah di peranti-peranti, yang kian merosak jiwa umat Islam dan anak muda kini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Idris berkata beliau telah mengarahkan JAKIM untuk berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk penjelasan dan tindakan lanjut.

Beliau memohon doa umat Islam dan rakyat Malaysia, agar usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi utamanya JAKIM untuk mengajak manusia kembali kepada Allah SWT dipermudahkan.

“Ini cabaran besar kita, dan mari kita tempuh bersama. Kepada Allah kita berserah setelah segala keringat kita baktikan untuk agama,” katanya.

Media hari ini melaporkan aplikasi Hijrah Diri telah digantung oleh pihak Google Play Store kerana maklum balas negatif yang diterima terhadap platform berkenaan.

Maklum balas negatif itu dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan kewujudan aplikasi terbabit. – AlHijrah Online

Leave a Reply