KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan mengenai kes petisyen yang dikemukakan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan yang dijadual diketahui esok tidak akan melemahkan mahkamah syariah.
Dalam petisyen yang mendapat perhatian ramai itu, Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 atas alasan Dewan Undangan Negeri bertindak melangkaui bidang kuasa.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysiah (YADIM) Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata keputusan kes itu nanti sebaliknya akan memberikan satu titik kepastian mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal sesuatu undang-undang berkaitan agama Islam.
“Keputusan itu juga akan memastikan Mahkamah Syariah akan berada di landasan yang sepatutnya menurut Perlembagaan Persekutuan dan sekaligus akan mengelakkan sebarang keputusan Mahkamah Syariah dicabar pada masa hadapan.
“YADIM percaya bahawa sistem keadilan di Malaysia masih tetap utuh berpaksikan kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yakin para hakim yang menganggotai panel hakim kes ini juga telah berikrar dan bersumpah untuk mempertahankan prinsip Perlembagaan
Malah Perlembagaan itu sendiri telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Namun katanya, agama Islam itu harus ditadbir urus mengikut prinsip yang ditetapkan.
“YADIM percaya bahawa isu sebenar dalam kes Nik Elin ini sebenarnya bukanlah berkaitan dengan mencabar kedaulatan Islam atau suatu pencerobohan ke atas bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Tetapi sebenarnya adalah satu ujian kepada prinsip Federalisme yang mana Mahkamah Persekutuan kelak akan memutuskan undang-undang mana yang sepatutnya digubal oleh Parlimen dan undang-undang mana yang sepatutnya digubal oleh Dewan Undangan Negeri,” jelkas Hasanuddin.
YADIM menyeru kepada semua umat Islam bertenang dan berlapang dada dalam menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan terhadap petisyen Nik Elin.
Agensi dakwah itu percaya, Majlis Raja-Raja bersama dengan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil tindakan proaktif selepas daripada keputusan kes untuk memastikan pentadbiran agama Islam berada di landasan yang tepat menurut undang-undang dan Perlembagaan negara. — AlHijrah Online