KERANI DIDENDA RM3,500 MILIKI 62 VIDEO LUCAH

Tertuduh, Noor Azmira Kamarudin (kiri). Sumber Gambar: BERNAMA

KLANG: Seorang kerani didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan memiliki 62 video lucah dalam telefon bimbitnya, sekitar Oktober 2018.

Tertuduh Noor Azmira Kamarudin, 44, turut diperintah oleh Majistret P. Sarulatha menjalani hukuman penjara tambahan selama lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu. Dia membayar denda itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa memiliki 62 video lucah dalam sebuah telefon bimbit di sebuah unit pangsapuri di Lebuh Kebun Nenas, Bandar Putera, Klang pada 8.30 malam, 23 Okt 2018.

Dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Terdahulu, Peguam Rajvinder Singh dalam rayuannya meminta mahkamah meringankan hukuman Noor Azmira kerana ia merupakan kesalahan pertama dilakukannya dan pengakuan anak guamnya turut menjimatkan masa mahkamah.

“Dia juga merupakan penyara tunggal keluarganya dan perlu menyara anaknya yang masih kecil serta ibu bapanya yang uzur di samping tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Fazril Sani Mohd Fadzil mengesahkan tertuduh tidak mempunyai rekod lampau namun memohon hukuman setimpal diberikan kepada Noor Azmira agar kesalahan tersebut tidak diulangi pada masa hadapan.–AlHijrah Online

Leave a Reply