KETETAPAN BAHARU SOLAT JUMAAT, SOLAT BERJEMAAH DAN SOLAT SUNAT AIDILADHA DI WILAYAH PERSEKUTUAN

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang berkuat kuasa 9 Julai 2021.
Melalui ketetapan baharu itu solat Jumaat, solat sunat Aidiladha dan solat jemaah dibenarkan di masjid, surau Jumaat dan surau namun terdapat syarat berbeza bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD).
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata untuk solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha di kawasan PKP, bilangan jemaah di masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 300 orang manakala bilangan jemaah di lapan buah masjid Pusat Zon dibenarkan seramai 100 orang.
“Bilangan jemaah di masjid kariah dan surau Jumaat dibenarkan seramai 50 orang dan jumlah jemaah di Surau Diberi Kebenaran Khas untuk diri Jumaat dibenarkan pula seramai 40 orang.
“Jumlah jemaah di surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibenarkan seramai 12 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi solat fardu di kawasan PKP, Mohd Ajib menjelaskan bilangan jemaah di masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 100 orang manakala di lapan buah masjid Pusat Zon dibenarkan sehingga 50 orang.
Solat fardu berjemaah di masjid kariah dan surau Jumaat pula dibenarkan seramai 30 orang dan Surau Diberi Kebenaran Khas untuk diri Jumaat dibenarkan seramai 20 orang.
Katanya lagi bilangan jemaah solat fardu di surau Jumaat PPR dan PA DBKL serta semua surau dibenarkan adalah seramai 12 orang.
Sementara itu bagi kawasan PKPD, Mohd Ajib berkata solat fardu dilaksanakan oleh tiga orang sahaja di semua masjid, surau Jumaat dan surau manakala solat Jumaat digantikan dengan solat Zohor.
“Semua ketetapan tersebut adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Semoga umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan serta bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera berakhir,” — AlHijrah Online