KKM SEDIA LAKSANA PEMBERIAN VAKSIN KEPADA BAKAL JEMAAH HAJI MALAYSIA

Sumber Gambar: Reuters

PUTRAJAYA: Semua jemaah haji Malaysia bakal menerima vaksin COVID-19 jika ibadah tersebut dibenarkan pada tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerajaan Malaysia bagaimanapun masih menunggu kuota haji yang akan diumumkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Sekiranya ibadah haji boleh dilaksanakan tahun ini, jumlah jemaah terlibat adalah antara 30,000 hingga 50,000. Ini mudah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam sidang media Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Dalam pada itu, Dr Adham memberitahu jemaah haji Malaysia akan menerima vaksin jenis Pfizer-BioNTech atau Sinovac, dan kemungkinan AstraZeneca sekiranya ia sampai ke Malaysia lebih awal.

“Pemberian vaksin jenis Pfizer-BioNTech akan diberikan kepada jemaah haji bermula Mei ini kerana ia memerlukan dua dos sebelum mereka memulakan perjalanan ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji pada pertengahan Jun,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah memaklumkan jemaah haji wajib mengambil suntikan vaksin COVID-19 kerana perkara tersebut menjadi antara syarat utama untuk menunaikan ibadah haji.—AlHijrah Online

Leave a Reply