Lebih banyak peluang pekerjaan di sektor swasta

Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat membangunkan lebih banyak peluang pekerjaan di sektor swasta bagi mengurangkan kebergantungan rakyat kepada sektor awam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi contoh sektor pembuatan yang boleh memberi gaji lebih lumayan.

Beliau berkata penggunaan teknologi maklumat juga boleh membantu kerajaan mengurangkan jumlah penjawat awam.

“Sebab itu kita perlu bangunkan negara dalam bidang pembuatan umpamanya, supaya lebih ramai kita berpindah daripada kerja dengan kerajaan kepada kerja dengan swasta dan meningkatkan keupayaan mereka supaya hasil lebih tinggi daripada pegawai biasa dalam kerajaan,” katanya pada sesi dialog bersama warga Angkatan Tentera Malaysia di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika ini seramai 1.7 juta rakyat Malaysia bekerja di sektor awam dan jumlah itu terlalu besar dan perlu dikurangkan. Justeru itu penjawat awam seharusnya melihat perkara ini sebagai peluang memajukan diri.

“Apabila saya berundur sebagai Perdana Menteri anggota pentadbiran hanya 1 juta orang, sekarang seramai 1.7 juta, peningkatan sebanyak 700 ribu lagi. Saya berpendapat hari ini jumlah anggota kerajaan terlalu besar dan ia perlu dikurangkan,” katanya.

Leave a Reply