MAIS AGIH 1,500 MAHABBAH FACE SHIELD KEPADA PETUGAS BARISAN DEPAN

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama anak syarikatnya Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hari ini mengedarkan 1,500 Mahabbah Face Shield kepada petugas frontliner di Hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah di Selangor.

Fasiliti kesihatan terbabit adalah Hospital Selayang, Hospital Banting, Hospital Kajang dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Mahktar berkata, setiap fasiliti kesihatan itu menerima 375 Face Shield yang amat diperlukan sekarang dalam usaha mereka mencegah penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata Face Shield diedarkan itu adalah hasil buatan tangan anak-anak yatim di Selangor.

“Alhamdulillah, sebanyak 1,500 Face Shield dihasilkan hasil kerja tangan anak-anak yatim dan ia berjaya diedarkan kepada hospital yang amat memerlukan. Terima kasih kepada YIDE dan semua pihak yang turut sama membantu dalam pelaksanaan usaha ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hadir sama anggota MAIS, Dr Farid Ravi Abdullah yang turut membuat penyerahan Face Shield di Hospital Kajang dan PKD Hulu Langat.

“Diharapkan dengan penyerahan ini dapat membantu sedikit sebanyak petugas-petugas barisan hadapan terutama di Hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah dalam memerangi Covid19. Terima kasih kepada penyumbang Tabung Prihatin Covid-19 MAIS,” kata Dr Ahmad Shahir. — AlHijrah Online

Leave a Reply