PEGAWAI POLIS WANITA TULAR HINA ANGGOTA LAIN DITAHAN KERJA

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis wanita yang tular dalam satu klip video menghina anggota polis lain telah ditahan tugas bermula minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Percakapan telah diambil pada 18 Jun lepas dan kedua-dua kertas siasatan tersebut telah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Pada masa sama, enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya.
Beliau ditemui media selepas majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Saifuddin pihak polis mempunyai kaedah dan mekanisme untuk menyiasat perilaku yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman serta boleh memberi pesepsi kepada pihak polis.
Sementara itu difahamkan siasatan terhadap pegawai polis wanita itu melibatkan kes video tular memarahi dan mengaibkan pegawai polis di Taman Sri Gombak serta pertengkaran dengan orang awam di tempat letak kenderaan. – AlHijrah Online