PEMANDU MABUK HANYA BOLEH DIHUKUM DENGAN ‘POLITICAL WILL’

Last Updated on

Oleh Finaz Yunus

Sembilan maut akibat dilanggar pemandu mabuk! Angka menggemparkan itu dicatatkan daripada 22 kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk bagi tempoh lima bulan pertama 2020 berbanding 23 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.

Jika kita lihat beberapa tahun kebelakangan ini, reaksi rakyat terhadap angka kematian akibat pemandu mabuk tidak sekuat (baca: semarah) ini.

Tahun 2020 bukan sahaja melepaskan amarah dan kesedihan keluarga mangsa, malah masyarakat khususnya umat Islam bangkit bersuara lantang dan mahu Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dipinda secepat mungkin.

Masyarakat menuntut hukuman lebih keras dan setimpal! Mereka mahu pemabuk yang disabit kesalahan sama ada digantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup selain membayar pampasan kepada keluarga mangsa terkorban akibat dilanggar pemandu mabuk.

Tuntutan hukuman keras itu juga disusuli dengan desakan supaya penjualan arak diharamkan. Persoalannya, mampukah segala tuntutan pindaan akta itu didengari dan dilaksanakan kerajaan?

Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Haidar Dziyauddin dalam program Analisis di TV AlHijrah yang mengupas topik ‘Pemandu Mabuk: Gantung Sampai Mati tau Penjara Seumur Hidup? ‘ Rabu lalu berkata, kesanggupan pemerintah adalah keutamaan dalam isu ini.

Meminda undang-undang sedia ada atau memperkenalkan undang-undang baharu, bergantung kepada kesediaaan kerajaan.

“Negara kita mengamalkan sistem berparlimen, jadi semua undang-undang akan diperkenalkan dan diluluskan pada peringkat parlimen melalui proses yang dijalankan di parlimen.

 “Dari itulah wujudnya kesanggupan pemerintah untuk memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat ataupun sesuatu sistem kebajikan,” katanya.

Persoalannya di sini, jika pengharaman penjualan arak dilakukan, adakah kerajaan bersedia untuk menerima kehilangan kutipan cukai yang dikenakan ke atas minuman keras atau apa yang dikenali sebagai ‘sin tax’ atau ‘cukai haram’ ini?

Kerajaan Persekutuan mengutip RM2.35 bilion dan RM1.99 bilion, masing-masing kutipan duti dan cukai yang dikenakan ke atas penjualan minuman keras pada 2018 dan 2019 (sehingga September 2019).

Mengulas isu sama, Ketua Urus Setia Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, ACP Shahrum Hashim berkata hukuman terbaik ke atas pemandu mabuk adalah dengan menjadikannya sebagai hukuman mandatori.

“Sudah dinyatakan di dalam seksyen 44 dan seksyen 45 hukuman pemandu mabuk ini mungkin boleh dinaikkan lagi dari segi denda dan hukuman penjara, kita jadikan hukuman ini sebagai hukuman mandatori dan mungkin akan lebih menggerunkan dan mendatangkan perasaan takut bagi pesalah mabuk,” katanya.

Beliau berkata hukuman penjara lebih menimbulkan kesedaran kepada pemandu mabuk berbanding bentuk hukuman lain.

“Kalau denda boleh diusahakan untuk membayar denda dan sebagainya, tapi kalau penjara mungkin akan lebih menimbulkan sedikit kesedaran apabila (pesalah) duduk dalam situasi yang berlainan” kata Shahrum.

Shahrum juga bersetuju dengan pandangan Haidar mengenai pelaksanaan undang-undang pemanduan bebas alkohol, bergantung kepada kesediaan kerajaan dalam menguat kuasakan undang-undang seumpama itu.

Mengulas isu sama, Pensyarah Kanan Undang-Undang Jenayah Islam dan Sistem Perundangan Islam, Prof Madya Dr Ramizah Wan Muhammad berkata, pemandu yang mabuk, Islam atau bukan Islam, yang melanggar atau memandu secara merbahaya atau menyebabkan kematian, boleh dikenakan hukuman diat dalam undang-undang Islam.

 Jika tidak boleh dikenakan hukuman mati ataupun qisas di dalam kategori pertama, pemandu mabuk itu boleh dikenakan hukuman gantian seperti membayar diat dan sulh .

“Perlu diingatkan, jika pesalah telah dimaafkan, pesalah masih boleh dihukum dengan hukuman lain atas dasar hak kerajaan untuk menjaga kemaslahatan rakyat” kata Ramizah.

Bagaimanapun Haidar berpandangan, walaupun perlembagaan  jelas menyebut Islam sebagai agama persekutuan, ia perlu dibaca bersama  Artikel Empat Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang yang tertinggi dalam negara ini.

“Di Malaysia, kita mengamalkan dwi-sistem iaitu sistem perundangan sivil dan sistem perundangan syariah. Artikel 4 adalah undang-undang tertinggi, mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan (Persekutuan) maka undang-undang itu akan terbatal, termasuklah perundangan Islam kerana bagi perundangan Islam yang diamalkan Malaysia ini hanya tertakluk kepada perkara-perkara yang disebut di dalam Perlembagaan sahaja,” jelas Haidar.

Menyaksikan hujah pakar perlembagaan dan pihak berkuasa serta reaksi rakyat, bolehlah kita simpulkan bahawa semua pihak bersedia untuk meminda hukuman lebih berat buat pemandu mabuk. Namun, bagaimana pula dengan pemimpin kita?

Dalam kalangan 222 ahli parlimen kita, berapa ramaikah yang akan bersama rakyat untuk memerangi pemandu mabuk ini? Sama-sama kita lihat ‘keikhlasan’ pemimpin kita pada pertengahan bulan ini nanti. – AlHijrah Online

Penulis adalah Penerbit & Pengacara Program Analsis yang bersiaran setiap Rabu jam 9 malam di saluran 114 TV AlHijrah.

Artikel disunting Syed Azwan Syed Ali.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

One comment

  • Terima kasih kerana tadabbur AlQuran tentang arak. Ramai yang telah menjadi mangsa pemandu mabuk di negeri ini. Selain arak saya harap isu dadah diberi perhatian kerana dadah juga telah merosakkan beberapa generasi masyarakat kita..

Leave a Reply