PEMBUKAAN SEMPADAN BERSYARAT UNTUK SINGAPURA DAN BRUNEI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membuka pintu sempadan negara bagi kemasukan rakyat Singapura dan Brunei, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran masuk rakyat kedua-dua negara itu hanya akan diberikan sekirannya negara terbabit bersetuju untuk turut membenarkan rakyat Malaysia masuk ke Singapura dan Brunei.

“Kita dalam mesyuarat pada dasarnya bersetuju untuk membenarkan rakyat Singapura yang tinggal di Singapura atau rakyat Brunei yang tingggal di Brunei untuk masuk ke negara kita, tanpa perlu memohon daripada Jabatan Imigresen dan tidak perlu menjalani saringan Covid-19 dan kuarantin di rumah.

“Bagaimanapun kita memerlukan kelonggaran yang sama untuk rakyat kita ke Singapura dan Brunei. Kelonggaran yang diberikan perlu ada timbal balas iaitu kedua-dua negara perlu beri kebenaran kepada rakyat kita untuk ke negara mereka tanpa sekatan seperti yang kita lakukan,” katanya dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ismail Sabri berkata rundingan ketika ini sedang dilakukan Wisma Putra dengan kementerian luar negara terbabit dan pintu sempadan hanya akan dibuka sekiranya persetujuan dicapai.

Sejak 18 Mac lalu, Malaysia menutup pintu sempadannya daripada kemasukan warga asing bagi mengekang penularan wabak Covid-19. – AlHijrah Online/ Zaim Zamani.

Leave a Reply