PRN: ENAM NEGERI JADI TUMPUAN ESOK

KUALA LUMPUR: Masa depan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu, terletak di tangan 9.67 juta pemilih apabila mereka akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada pilihan raya esok.

Di Terengganu, pemilih bukan sahaja mengundi untuk kerusi DUN, tetapi juga untuk satu kerusi Parlimen iaitu Kuala Terengganu kerana pilihan raya kecil kawasan itu diadakan serentak dengan pilihan raya enam negeri berkenaan.

Pastinya esok akan menjadi hari yang dinanti dengan penuh debaran, dari saat pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi sehingga keputusan penuh setiap negeri diumumkan, dengan yang paling awal dijangka diketahui kira-kira dua jam selepas pusat mengundi ditutup pada pukul 6 petang.

Secara keseluruhan, sebanyak 17,048 saluran mengundi disediakan di 3,190 pusat mengundi di semua 245 kawasan DUN di enam negeri itu, manakala untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 217 saluran mengundi disediakan di 41 pusat mengundi.

Selasa lepas, seramai 72,554 anggota tentera, polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mereka telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi pilihan raya di enam negeri itu manakala 1,286 lagi mengundi untuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Persoalan yang berlegar kini adalah sama ada status quo akan kekal yang akan menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala PAS terus memerintah Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Atau, adakah akan berlaku perubahan drastik di enam negeri selepas 14 hari berkempen tanpa henti oleh setiap parti yang bertanding?

Tempoh berkempen yang bermula selepas penamaan calon pada 29 Julai lepas akan berakhir tengah malam ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 1,524 laporan melibatkan kesalahan pilihan raya bagi tempoh 29 Julai hingga 9 Ogos.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, sejumlah 103 kertas siasatan telah dibuka dan empat tangkapan telah dibuat.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia enam negeri itu mengadakan pilihan raya negeri secara berasingan daripada pilihan raya umum selepas memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing semasa pembubaran Parlimen pada 10 Okt tahun lepas.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk memilih Ahli Parlimen baharu diadakan serentak hanya dengan pilihan raya negeri Perak, Pahang dan Perlis pada 19 Nov 2022.

Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak pula telah mengadakan pilihan raya negeri masing-masing sebelum PRU15.

DUN Kelantan yang mempunyai 45 kerusi dibubarkan pada 22 Jun, diikuti DUN Selangor dengan 56 kerusi pada 23 Jun.

Sementara DUN Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi, DUN Kedah 36 kerusi dan DUN Terengganu 32 kerusi dibubarkan serentak pada 28 Jun, menjadikan DUN Negeri Sembilan dengan 36 kerusi sebagai yang terakhir dibubarkan selepas genap sepenggal penuh pada 1 Julai.

Pilihan raya enam negeri itu juga merupakan medan perang pertama yang menyaksikan kerjasama PH (Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah) dan BN (Barisan Nasional) untuk menghadapi cabaran daripada PN (Perikatan Nasional yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan).–AlHijrah Online

Leave a Reply