#QURANTIME BERI TIGA MANFAAT KEPADA PENONTON – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Program Malaysia #Qurantime terbitan TV AlHijrah dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas memberi tiga manfaat utama kepada penonton.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata tiga manfaat itu adalah membaiki bacaan al-Quran, mempelajari terjemahannya dan memahami dengan lebih jelas maksud ayat al-Quran yang dibaca.

“Bila kita berada dalam majlis (program) tersebut kita dapat tiga dalam satu. Pertama dari sudut bacaan dari qari yang benar-benar baik.

“Kedua makna yang diterjemahkan memberi kefahaman kepada kita dan ketiga tadabur dari ayat itu direalisasikan dengan realiti semasa dan ini menatijahkan satu kefahaman yang boleh kita amalkan dalam kehidupan kita.” kata Zulkifli selepas menjadi tetamu program Malaysia #Qurantime di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi TV AlHijrah, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff.

Mengulas lanjut mengenai Malaysia #Qurantime, Zulkifli berkata program yang berjaya meraih capaian lebih 10 juta audiens di FB TV AlHijrah perlu diteruskan untuk manfaat penonton.

Beliau juga menyeru mana-mana pihak yang mempunyai kewangan kukuh untuk menyokong dan menaja kempen itu yang memberi kebaikan kepada umat Islam di negara ini.

Malaysia #Qurantime mula bersiaran pada 20 Mac lalu setiap hari selama sejam bermula jam 12 tengah hari di TV AlHijrah dan platform digitalnya.

Program itu memberi peluang kepada penonton seisi keluarga untuk bertadarus bersama tetamu jemputan di Studio Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah. — AlHijrah Online/ Zaim Zamani

Leave a Reply