RAKYAT MALAYSIA DI ITALI & IRAN AKAN DIBAWA PULANG

KUALA LUMPUR: Seramai 323 rakyat Malaysia di Itali dan 65 warga Malaysia di Iran akan dibawa pulang ke tanah air, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selari dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, Hishammuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklumat Wisma Putra berhubung situasi di Itali dan Iran yang dikongsikan beliau kepada Perdana Menteri ketika Mesyuarat Khas COVID-19 kelmarin.

Beliau berkata Wisma Putra melalui Perwakilan Malaysia di Itali dan Iran sedang melaksanakan persiapan rapi untuk membantu melancarkan proses membawa pulang rakyat Malaysia itu.

“Persiapan ini termasuklah mengenal pasti kedudukan semua rakyat Malaysia di sana serta memastikan mereka mendaftarkan diri dengan Perwakilan.

“Ia amat penting bagi memudahkan mereka mendapat maklumat yang tepat dan terkini berhubung misi bawa pulang ini,” kata Hishammuddin dalam kenyataan di sini hari ini.

Itali dan Iran antara negara terjejas teruk akibat penularan wabak penyakit COVID-19 yang setakat ini mengorbankan 5,300 mangsa dan menjangkiti 142,000 kes di seluruh dunia.

Hishammuddin turut menyeru kepada rakyat Malaysia di Itali, Iran serta semua negara yang terjejas akibat COVID-19 agar kekal tenang serta bersabar.

“InsyaAllah, Kerajaan termasuk Wisma Putra akan bantu yang terbaik. Yang penting, pastikan berhubung dari masa ke masa dengan Perwakilan kita di sana.

“Marilah kita doakan semoga semua berjalan lancar, ” kata Hishammuddin. — AlHijrah Online

Kedutaan Malaysia di Iran :
Phone no : 00(9821)8807 2444
Emel : mwtehran@kln.gov.my

Kedutaan Malaysia di Itali :
Phone no : +39 068415764 atau +39 068417026 atau +39 068411339
Emel : mwrome.kln@1govuc.gov.my

Leave a Reply