STATUS TERKINI KES DIFTERIA DI MALAYSIA

difteria

PUTRAJAYA, 30 Jun – Sehingga 29 Jun 2016, sebanyak tiga belas (13) kes disahkan difteria dengan lima (5) kematian telah dilaporkan berlaku di negara kita.

Pecahan kes mengikut negeri adalah Melaka tiga (3) kes dengan satu (1) kematian, Kedah enam (6) kes dengan satu (1) kematian dan Sabah empat (4) kes dengan tiga (3) kematian. Kesemua kes di Sabah dilaporkan berlaku secara sporadik (terpencil) dan tiada hubungkait antara satu sama lain.

Manakala kes difteria di Kedah dan Melaka adalah kejadian kluster dalam keluarga. Sebanyak dua (2) kes terbaru disahkan berlaku di Sabah, seorang kanak-kanak warganegara berumur 3 tahun yang tiada sejarah menerima imunisasi difteria. Pesakit disahkan difteria pada 23 Jun 2016 dan meninggal dunia pada 27 Jun 2016.

Manakala kes kedua pula adalah seorang kanak-kanak bukan warganegara yang berumur 5 tahun dan disahkan difteria pada 28 Jun 2016. Kini dia dirawat di wad isolasi hospital dan dalam keadaan stabil.

Anggota kesihatan di semua negeri telah sedia maklum kejadian difteria ini dan telah meningkatkan aktiviti survelan masing-masing.


Perkhidmatan imunisasi di klinik-klinik kesihatan, hospital dan klinik swasta dilaporkan mendapat sambutan yang memberansangkan. Saya menyeru agar semua ibubapa terus komited membawa anak-anak mendapatkan imunisasi mengikut jadual. Ibubapa dengan anak-anak di bawah umur 7 tahun dipohon untuk menyemak temujanji imunisasi anak-anak.

Sekiranya cicir imunisasi, mohon untuk mendapatkan imunisasi di klinik berhampiran. Anggota kesihatan akan mengatur jadual baru yang sesuai.

Semoga sambutan baik ini berkekalan demi memastikan kesihatan anak serta kesihatan umum sentiasa terpelihara melalui imuniti kelompok, seterusnya penyakit cegahan vaksin tidak menjadi masalah kesihatan awam lagi.

Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Nama : En Nor Suzaman bin Abdul Rahman Tel : 013-339 7025 / 03-8883 3470 Emel : n.suzaman@moh.gov.my

BERNAMA

Leave a Reply