SUAMI DIDAKWA UGUT BUNUH DAN SIMBAH ASID TERHADAP ISTERI

KULIM: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kulim hari ini atas dua pertuduhan kerana mengugut bunuh dan mencederakan isterinya berusia 40 tahun dengan menggunakan asid pada 28 September lalu.

Tertuduh Mohd Azhar Samsuddin, 42, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Che Rohana Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengugut hendak menyebabkan kematian terhadap mangsa dengan cuba menyimbah asid di hadapan Masjid Sungai Kob, Kulim kira-kira jam 7.45 pagi 28 September.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan khianat terhadap mangsa dengan memusnahkan harta milik mangsa pada tarikh dan waktu di tempat yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas faktor keselamatan terhadap mangsa.

Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kamal Pasha, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya.

Mahkamah menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes. — AlHijrah Online

Leave a Reply