‘SUGAR DADDY’, ‘SUGAR BABY’, MEREKA YANG TERLIBAT SEGERALAH BERTAUBAT

KUALA LUMPUR: Aplikasi Sugarbook yang menyediakan saluran pertemuan di antara golongan lelaki kelas atasan yang dikenali sebagai ‘Sugar Daddy’ dan golongan wanita dalam lingkungan usia 18 – 35 tahun yang diistilahkan sebagai ‘Sugar Baby’ adalah dilarang menurut syarak.

Perkara itu ditegaskan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah yang tampil memberikan nasihat serta panduan hukum syarak kepada masyarakat umum berhubung aplikasi Sugarbook.

“Pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan ini menegaskan kepada umat Islam sekalian bahawa sebarang perbuatan yang boleh mendorong kepada berlakunya perzinaan adalah jelas dilarang menurut syarak.

“Larangan ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil seperti yang terdapat dalam firman Allah Ta’ala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

May be an image of 1 person and sitting
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah (ARKIB)

Menurut Luqman, dalam Surah Al-Isra’ ayat 32, Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”.

Jelas Luqman lagi, larangan ke atas umat Islam daripada menyertai aplikasi Sugarbook ataupun mana-mana aplikasi lain yang berkaitan dengannya juga adalah selaras dengan prinsip Sadd al-Dzara’i’ iaitu penutupan pintu-pintu yang boleh membawa kepada perbuatan yang haram di sisi Islam.

“Aktiviti sebegini juga jelas bercanggah dengan norma masyarakat di Malaysia yang sentiasa memelihara tatasusila serta kesopanan dalam aspek pergaulan di antara lelaki dengan wanita.

“Pihak PMWP ingin menasihatkan kepada ‘Sugar Daddy’, ‘Sugar Baby’ serta mana-mana umat Islam yang terlibat dengannya, agar segeralah bertaubat kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan berazam untuk meninggalkan perbuatan yang tidak bermoral ini selama-lamanya.” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply