WARGA NIGERIA CAMPAK CUCU DIDAKWA ADA MASALAH MENTAL

KUALA LUMPUR: Suspek warga Nigeria yang mencampak cucu tirinya di sebuah pangsapuri di Setapak pagi semalam dilaporkan mengalami masalah mental.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata maklumat itu diperolehi hasil keterangan dari keluarga dan rakan suspek.

“Difahamkan dia (suspek) ada sedikit (masalah) mental. Suspek ini masih mengambil ubat-ubatan untuk penyakitnya itu,” katanya.

Bagaimanapun polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu dan suspek yang berusia 42 tahun tersebut kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Isteri suspek dan dua anak termasuk mangsa yang cuba dirogol masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Saiful juga berkata polis akan menyiasat dakwaan suspek terbabit dengan ajaran sesat atau tidak.

Kes melibatkan warga Nigeria itu kini disiasat mengikut Seksyen 302. Seksyen 307, dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian 8 pagi semalam, kanak-kanak 4 tahun, Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusari maut selepas dicampak suspek yang juga datuk tirinya dari tingkat tiga pangsapuri di Setapak.

Perbuatan kejam itu dilakukan suspek selepas bertengkar dengan isterinya yang merupakan warga tempatan, kerana cuba merogol anak tirinya sendiri. — AlHijrah Online

Leave a Reply