AKU MAHU KE SEKOLAH: AMAR DARI HODEIDAH, YAMAN

Semalam penulis berjumpa dengan Amar, seorang pelarian kanak-kanak Yaman yang gagal memberikan jawapan jelas tentang usianya sama ada berumur 8 tahun atau 10 tahun.

Kanak-kanak yang berambut kerinting halus itu adalah pelarian dalaman dari Hodeidah antara kawasan terjejas teruk dalam konflik perang saudara di Yaman sejak lima tahun lalu.

Ketika penulis menemuinya, Amar leka bermain dengan kawan-kawannya di antara lorong-lorong khemah pelarían daif di kem pelarian dalaman Dar Saad di pinggir kota Aden.

Tidak berselipar seperti kebanyakan kanak-kanak pelarian lain, Amar yang mukanya bersalut debu terkejut ketika penulis meminta bercakap dengannya melalui penterjemah.

“Aku tidak ke sekolah, tapi mahu ke sekolah,” kata Amar menundukkan kepala. Amar mengelak bertentang mata dengan penulis, barangkali dia tidak gemar berdepan kamera.

Penulis meminta Wagdi Ali, penduduk tempatan yang boleh berbahasa Inggeris menanyakan kenapa Amar tidak pergi ke sekolah. Jawapan dari Amar selepas itu meluruhkan hati penulis.

Ibu Amar melarang dia ke sekolah, malah semua empat abangnya tidak ke sekolah dan begitu juga dua adik lelakinya yang masih kecil. Keputusan ibunya itu kerana mereka adalah pelarian.

“Mereka miskin, tiada wang hantar anak ke sekolah. Inilah hidup pelarian Yaman,” kata Wagdi menjelaskan hanya sebahagian kecil anak-anak pelarian Yaman yang berpeluang ke sekolah.

Amar dan keluarganya adalah antara 131 keluarga yang berlindung di kem pelarian dalaman Dar Saad yang mula dibuka sejak 11 bulan lalu. Kesemua pelarian di kawasan itu berasal dari Hodeidah, kawasan pelabuhan yang pernah dikepung kumpulan Houthi di wilayah utara Yaman.

Pelarian dalaman di kem serba daif yang padat dengan khemah-khemah buruk dan tidak mempunyai bekalan air itu bergantung hidup kepada bantuan kemanusiaan dari badan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa.

Antara NGO membantu pelarian dalaman di Kem Dar Saad itu adalah Field Medical Foundation (FMF) iaitu bakal rakan kerjasama Mercy Malaysia yang tiba di Aden sejak Sabtu lalu.

Difahamkan, keluarga pelarian di kem itu juga menerima bantuan makanan bulanan dari Program Makanan Dunia (WFP), bagaimanapun bekalan terbabit putus sejak tiga bulan lalu.

Berbalik kepada Amar, beliau antara dua juta kanak-kanak di Yaman yang tidak ke sekolah kerana terjejas akibat ancaman peperangan, kebuluran dan penyakit di wilayah konflik Yaman.

Amar juga tergolong dalam kelompok 1.5 juta kanak-kanak pelarian dalaman di negara Arab termiskin itu. Perang saudara benar-benar meragut masa depan kanak-kanak di Yaman.

“Konflik, tiada pembangunan dan kemiskinan menafikan kanak-kanak Yaman untuk akses pendidikan, hak masa depan lebih baik,” kata Jurucakap UNICEF, Sara Beysolow Nyanti dalam laporan media sebelum ini.

Hakikat ini disaksikan sendiri penulis di wilayah selatan Yaman apabila hanya segelintir kanak-kanak pelarian berpeluang ke sekolah di mana kebanyakkannya ditaja badan antarabangsa.

“Banyak anak-anak tidak ke sekolah kerana kemiskinan. Kalau ada pun sekolah jauh dan mereka tidak boleh menyediakan sarapan, makanan untuk anak-anak mereka,” kata Wagdi.

Penjelasan penterjemah penulis itu menerangkan kenapa ibu Amar terpaksa menafikan hak anaknya kepada pendidikan kerana tuntutan hidup adalah lebih penting untuk pelarian.

Kebanyakan anak pelarian juga akan bekerja di usia awal dengan melakukan kerja buruh, keji dan kotor, termasuk mengutip besi buruk dan mengangkat air sekadar untuk upah kecil.

“Pendidikan penting untuk kanak-kanak kerana jika tidak ke sekolah mereka mungkin terbabit dengan keganasan selain masa depan yang teruk,” jelas Wagdi, penterjemah penulis kelihatan hampa dengan peperangan yang masih belum berakhir.

Konflik perang saudara Yaman disifatkan sebagai krisis kemanusiaan terburuk di abad ini oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Setakat ini lebih 100,000 telah terkorban.

Ia menyebabkan lebih 80 peratus atau 24.1 juta penduduk Yaman terjejas dan memerlukan bantuan asing untuk hidup. Konflik itu memburukkan lagi keadaan penduduk Yaman yang sememangnya terbelenggu dalam kemiskinan seperti keluarga Amar.

“Pendidikan penting untuk anak-anak kami. Pendidikan juga penting untuk sesebuah negara membangun. Jika tiada pendidikan, tiadalah pembangunan dan masa sepan,” kata Wagdi mengenang nasib kanak-kanak seperti Amar di Yaman.

Selain peperangan, ada satu hakikat yang memisahkan Amar dengan sebahagian besar pelarían dalaman lain di Yaman. Amar dan keluarganya tergolong dalam kelompok muhamishin.

Muhamishin merujuk kelompok marhaen atau masyarakat bawahan di Yaman yang sejak dari dulu terbelenggu dengan kemiskinan kerana faktor budaya setempat. Kelompok ini sering menjadi pekerja bawahan untuk lapisan masyarakat lain di wilayah konflik itu.

Di akhir temubual, penulis bertanya kepada Amar, “kamu mahu menjadi apa bila dewasa nanti?”.

Amar dengan bangganya berkata, dia mahu mengikuti jejak langkah abang-abangnya, “aku mahu menjadi porter (pengangkut barang)”. — AlHijrah Online

Leave a Reply