BANK MUAMALAT LANCAR EZ-ZAKAT UNTUK TUNAI ZAKAT DI EMPAT NEGERI

KUALA LUMPUR, 27 Dis — Bank Muamalat Malaysia Bhd melancarkan perkhidmatan pengiraan dan potongan zakat secara automatik akaun simpanan dan semasa, Ez-Zakat Muamalat, untuk memudahkan pendeposit menunaikan zakat di Kelantan, Pahang, Sarawak dan Pulau Pinang.

Ia dilancarkan menerusi majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKPZ), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), dan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Ketua Divisyen Perbankan Konsumer Bank Muamalat Zury Rahimee Zainal Abiden berkata sebelum ini pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan institusi zakat Wilayah Persekutuan, Selangor dan Melaka.

“Perkhidmatan Ez-Zakat Muamalat ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai Perkhidmatan Kreatif Atau Penilaian Produk 2019 daripada Anugerah Perbankan Runcit Islam, Penasihat Kewangan Antarabangsa Cambridge di Oman,” katanya dalam kenyataan Khamis.

Perkhidmatan Ez-Zakat Muamalat ditawarkan di semua 65 cawangan Bank Muamalat seluruh negara manakala kaedah kiraan dan potongan zakat yang digunakan pula mengikut amalan pusat zakat negeri.

“Potongan zakat akan dilakukan secara automatik apabila cukup haul dan nisab,” katanya.

Cukup nisab adalah paras minimum yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta itu dikeluarkan zakat manakala cukup haul ialah berlalu tempoh setahun harta dimiliki. — BERNAMA

Leave a Reply