BAYI MAUT DIPATUK ULAR

REMBAU: Seorang bayi lelaki berumur setahun maut akibat dipatuk ular semasa bermain di dalam rumah di Kampung Seberang Batu Hampar, Solok Jelawai Hilir, semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Hazri Mohamad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam dipercayai ketika mangsa Muhammad Danial Iqwan Muhammad Hafiz sedang bermain dengan abangnya di bilik tidur utama sambil ditemani ibu mangsa.

“Tiba-tiba ibu mangsa terdengar jeritan anak bongsunya dan melihat seekor ular menyusur keluar ke dalam sebuah lubang di bilik berkenaan.

“Kemudian ibunya memeriksa mangsa dan mendapati kesan patukan ular di tapak tangan kiri bayi tersebut,” katanya.

Susulan kejadian tersebut, bayi tersebut terus dikejarkan ke Hospital Rembau bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, mangsa telah meninggal dunia jam 1 pagi tadi selepas disahkan pihak hospital sebelum ibunya membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Hazri berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.—AlHijrah Online

Leave a Reply